Thursday, October 31, 2013

PPDNKK Berusaha Lindungi Pengguna Terengganu Melalui Skim Kawalan Harga

Alwi Abdul Hamid (dua dari kanan) memeriksa harga barangan kawalan bersempena musim perayaan Deepavali di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu, semalam.
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKK) menggerakkan 150 anggota penguat kuasa termasuk Pegawai Pemantau Harga (PPH) di seluruh negeri ini sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2013. 

Timbalan Pengarahnya, Alwi Abdul Hamid berkata, langkah itu bertujuan memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk meletakkan tanda harga yang betul serta tidak menaikkan harga barang sesuka hati mereka.

 "Alhamdulillah, sejak skim kawalan harga dilaksanakan kelmarin, kita hanya mengesan satu kes iaitu peniaga tidak meletakkan tanda harga pada ubi kentang di sebuah pasar basah di Manir dekat Kuala Terengganu. 

"Peniaga berusia 55 tahun itu bagaimanapun telah menyedari kesalahannya dan dikenakan kompaun minimum sebanyak RM100," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran skim kawalan harga tersebut di Pasar Besar kedai Payang semalam.

Sempena pelancaran itu, beliau bersama lebih 10 anggota penguat kuasa lain turut membuat tinjauan harga di pasar berkenaan. Sementara itu, PPDNKK Terengganu merampas barangan bernilai lebih RM113,000 sepanjang operasi khas di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 serta Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 di negeri ini bermula 6 Julai lalu hingga semalam.

Alwi berkata, pada masa yang sama, pihaknya turut mengeluarkan kompaun keseluruhan sebanyak RM22,350 kepada seramai 208 peniaga di seluruh negeri ini atas pelbagai kesalahan membabitkan kedua-dua akta berkenaan.

Katanya, untuk kesalahan di bawah AKHAP 2011, seramai 160 peniaga telah dikenakan kompaun sebanyak RM16,250 manakala nilai rampasan pula melebihi RM53,000.

 "Daripada jumlah itu, kes tertinggi dicatatkan di pejabat PDNKK cawangan Kuala Terengganu iaitu sebanyak 82 kes.

"Selain Kuala Terengganu, tiga lagi pejabat cawangan lain iaitu Kemaman mencatatkan sebanyak 17 kes, Dungun dengan 31 kes dan Besut dengan 30 kes," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, untuk kesalahan di bawah ATS 1972 pula, pihaknya telah mengenakan kompaun sebanyak RM6,100 kepada 48 peniaga dengan kes tertinggi dicatatkan di pejabat PPDNKK cawangan Besut.

Beliau berkata, pejabat cawangan Kemaman dan Besut masing-masing mencatatkan sebanyak 12 kes manakala cawangan Kuala Terengganu mencatatkan 10 kes.

"Nilai rampasan di bawah kesalahan ini pula hampir RM60,000 dengan cawangan Besut mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM57,120 manakala tiga cawangan lain itu Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun pula masing-masing mencatatkan sebanyak 680 kes, 1,470 kes dan 685 kes.

No comments:

Post a Comment