Thursday, October 24, 2013

PRK Sungai Limau - Menteri Besar, UMNO Terengganu Turut Berkempen

Menteri Besar melawat salah sebuah rumah dalam DUN Sungai Limau semalam.

Barisan Nasional dan Pas kini boleh memasang bendera pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau. bermula semalam hingga 12 tengah malam 3 November ini, iaitu sebelum hari pengundian pada 4 November.

Kebenaran ini diberikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) semalam. Kempen, termasuk dari rumah ke rumah mula dijalankan oleh penyokong kedua-dua pihak yang bertanding.

Kelihatan Jidin dan Ketua UMNO Kuala Terengganu, Datuk  mohd Sabri Alwi bersama beberapa anggota Wanita UMNO.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berada di dalam kawasan DUN Sungai Limau sejak kelmarin hingga Jumaat ini.

Menteri Besar dijangka akan pulang ke Terengganu Sabtu dan akan datang semula ke DUN berkenaan minggu depan.

Beliau dan rombongan UMNO Terengganu dijangka akan berada di DUN berkenaan sepanjang kempen PRK itu.

Difahamkan Ketua UMNO Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie ditugaskan mengetuai jentera Barisan Nasional Terengganu untuk kempen berkenaan.

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian bekas Menteri Besar Kedah daripada Pas, Tan Sri Azizan Abdul Razak, yang juga penyandang kerusi itu sejak pilihan raya umum 2004, pada 26 September lepas.

PRK Dun Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, menentang calon Pas Mohd Azam Abd Samat, 37.

SPR berkata semalam, pengundian kali ini akan turut menggunakan dakwat kekal dengan kaedah mencelup jari yang telah dilaksanakan pada PRK Dun Kuala Besut Julai lepas, memandangkan setakat ini tiada aduan atau rasa tidak puas hati diterima berhubung kaedah itu.

Sementara itu, MCA membuka empat bilik gerakan untuk membantu calon BN, Dr Ahmad Sohaimi selain mengadakan lawatan rumah ke rumah masyarakat Cina di kawasan DUN itu.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA juga akan mengadakan program dan ceramah yang melibatkan generasi muda supaya mereka lebih faham akan keprihatinan kerajaan BN dalam memberi pelbagai peruntukan dan perancangan kerjaya.

Sebanyak 6.7 peratus atau 1,842 daripada 27,222 pemilih berdaftar di DUN Sungai Limau terdiri pengundi Cina.

No comments:

Post a Comment