Saturday, October 5, 2013

Program Pengiktirafan Veteran Atm Perlu Berterusan - Hishammuddin

Semua program pengiktirafan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dijalankan secara berterusan dan bukannya bermusim, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perkara itu perlu bagi memastikan kebajikan golongan itu sentiasa dijaga dan terbela. Untuk itu, semua pihak yang bertanggungjawab termasuk swasta dan kesatuan perlu bekerjasama dan kreatif dalam mewujudkan program yang dapat memberi manfaat kepada veteran tentera untuk jangka panjang sesuai dengan peredaran masa, katanya.

Hishammuddin berkata selain itu, kerajaan komited dalam mewujudkan jaringan dengan veteran ATM supaya agenda utama untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan memelihara kebajikan mereka dapat diteruskan oleh generasi masa depan.

Pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan kerajaan sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan veteran ATM termasuk mewujudkan Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) di bawah Strategi Lautan Biru (NBOS), katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia (1MVAP) di Pangkalan Udara Butterworth,kelmarin.

Hishammuddin berkata kewujudan program seperti 1MVAP adalah yang terbaik kerana ia berperanan sebagai pusat sehenti untuk veteran ATM mendapat khidmat nasihat, bantuan dan kemudahan sekaligus mewujudkan jaringan sosial antara golongan itu dengan jabatan kerajaan.

"Usaha pengumpulan data yang tepat ni merupakan usaha yang berterusan. Saya mengalu-alukan semua pihak sekiranya belum lagi maklumkan status kedudukan mereka atau alamat, datang berjumpa dengan kami kerana saya betul-betul nak tahu berapa ramai yang perlu bantuan," katanya.

Sebanyak 31 kem dipilih di seluruh negara untuk program itu bagi menyampaikan kemudahan dan bantuan kepada veteran ATM dengan lebih meluas.

Hishammuddin berkata pada masa ini beliau sedang meneliti beberapa isu yang dihadapi veteran ATM termasuk pemberian kadar pencen yang seimbang, bantuan khas kepada veteran warga emas yang tidak berpencen dan saringan pemberian rumah dan hak milik tanah oleh kerajaan negeri.

Terdahulu, pada majlis itu Hishammuddin menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 50 veteran ATM yang pernah berkhidmat pada zaman darurat dan penentangan komunis dari tahun 1969 hingga 1989. 

Selain itu, beliau turut menerima sumbangan berjumlah RM12,000 untuk Tabung Pahlawan 2013 daripada enam penyumbang iaitu JKP Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Ikan Wilayah Pulau Pinang, Penang Port Sdn Bhd, Worldcabs Sdn Bhd, Global Utara Selatan Sdn Bhd dan Gandingan Timur Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment