Tuesday, October 1, 2013

Tengku Zaihan Angkat Sumpah Sebagai ADUN Kuala Besut

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi mesyuarat kedua penggal pertama semalam dimulakan dengan Majlis Angkat Sumpah Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai ADUN Kuala Besut yang baru di hadapan Speaker Zubir Embong.

Tengku Zaihan calon Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut 24 Julai lalu dengan mengalahkan calon Pas Azlan Yusof.


Tengku Zaihan ,37, berazam memberi komitmen terbaik bagi membawa suara rakyat pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini, untuk bersama-sama meneruskan khidmat cemerlang Barisan Nasional (BN) khususnya di DUN Kuala Besut.


Dia bersyukur ke hadrat Ilalhi dan tidak lupa kepada pengundi kawasan Kuala Besut yang mempercayai dan memberi mandat besar kepadanya untuk membuat perubahan.

“Saya mahu menunaikan hajat pemimpin BN supaya membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan dan membangunkan kawasan Kuala Besut.

“Pada masa sama, bersedia mengikut apa sahaja kehendak pucuk pimpinan parti kerana matlamatnya ingin bekerja untuk rakyat.

“Agenda dan usaha dilakukan arwah,Dr A Rahman Mokhtar yang masih belum selesai akan diteruskan, antaranya mendalamkan muara Kuala Besut, masalah penempatan penduduk serta meneruskan pelaksanaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kuala Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang DUN, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

“Saya turut merancang untuk meningkatkan ekonomi dan menambah peluang pekerjaan di kalangan penduduk terutama yang bergantung kepada rezeki laut dan tanaman,” katanya.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai lalu, calon BN Tengku Zaihan berjaya menewaskan calon Pas, Endot@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi.

Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi mengalahkan Azlan atau lebih dikenali Che Long yang mendapat 5,696 undi.

Kemenangan Tengku Zaihan itu sekaligus mengekalkan kedudukan kerusi 17 BN 15 PR sebagaimana kedudukan asal selepas PRU13 lalu.

Pada PRK itu Tengku Zaihan yang memperolehi 8,288 undi mengalahkan Azlan dengan majoriti 2,592 undi sekaligus mengekalkan kedudukan majoriti mudah BN Terengganu dengan 17 daripada 32 kerusi DUN.

No comments:

Post a Comment