Thursday, October 31, 2013

Tiga Ubat Tradisional, Satu Produk Pelangsingan Berbahaya - Kementerian Kesihatan


Kementerian Kesihatan menasihati pengguna supaya tidak membeli dan menggunakan tiga ubat tradisional dan satu produk pelangsingan tidak berdaftar yang didapati mengandungi racun berbahaya.

Tiga ubat tradisional itu ialah 'Majun Dua Istimewa', 'Makjun Taufiq Dua Istimewa' dan 'Madu Adunan Herba' dan produk pelangsing badan 'Figure-Up'. untuk pelangsingan badan

 Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah Abdul Rahman berkata ujian mendapati tiga produk tradisional itu mengandungi 'dexamethasone' yang antara lain boleh mengakibatkan penyakit berkaitan hati serta kegagalan fungsi buah pinggang akut jika diambil tanpa pengawasan doktor.


"Seorang pesakit meninggal dunia akibat komplikasi penyakit kencing manis yang tidak terkawal setelah mengambil produk 'Majun Dua Istimewa' itu selama dua bulan sebagai ubat tahan sakit," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Kesan lain termasuk peningkatan berat badan, 'Cushing's Syndrome', kesan alergi, peningkatan kadar kolestrol, sakit kepala, sakit perut, tulang rapuh, sesak nafas, jangkitan kuman dan gangguan perjalanan darah.

Esah berkata 'dexamethasone', yang dikawal mengikut Akta Racun 1952, merupakan sejenis kortikosteroid dengan fungsi antiradang dan biasa diguna dalam rawatan alergi serta hanya boleh dibekal dengan preskripsi doktor.

Beliau berkata ubat tradisional berkenaan masih ada di pasaran walaupun Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan telah membuat serbuan dan rampasan.

"Sebanyak 401 botol produk 'Majun Dua Istimewa' dirampas bernilai RM146,779 dan 96 botol produk 'Makjun Taufiq Dua Istimewa' dirampas dengan anggaran nilai sebanyak RM32,593 sehingga Jun lepas," katanya.

Sementara itu, beliau berkata produk 'Figure-Up' pula mengandungi bahan racun berjadual 'sibutramine' yang merupakan ubat terkawal untuk rawatan obesiti.

Eisah berkata ubat-ubatan yang mengandungi 'sibutramine' ditarik balik pendaftarannya di Malaysia pada 23 Dis tahun lepas atas sebab peningkatan risiko kesan buruk kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

"Antara kesan sampingan lain yang biasa dikaitkan dengan 'sibutramine' adalah peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, kering mulut dan tekak, muntah, cirit-birit, pening, sakit kepala dan kesukaran tidur," katanya.

Sehubungan itu, Eisah mengingatkan peniaga agar menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk terbabit kerana melanggar Akta Jualan Dadah 1952 serta Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang didapati bersalah mengikut peraturan ini boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, katanya.

Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan produk terbabit kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau Cawangan Penguatkuasa Farmasi berdekatan atau e-mel pharmacy1@moh.gov.my agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang ingkar.

Status pendaftaran sesuatu produk juga boleh disemak di talian 03-78835400 atau layari laman sesawang www.bpfk.gov.my.

No comments:

Post a Comment