Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran tindakan tegas termasuk dipecat akan diambil terhadap anggota dan calon Majlis Tertinggi (MT) yang didapati mensabotaj pemilihan parti.
Beliau memberi jaminan Jawatankuasa Disiplin parti akan membuat siasatan menyeluruh sekiranya ada menerima laporan.
Katanya beliau telah memaklumkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang "menghancurkan atau berniat menghancurkan" Umno.
"Kita tahu ada unsur-unsur (pihak-pihak) luar...yang cuba "merasuk" masuk untuk memujuk ahli tertentu untuk bertanding pada pemilihan kali ini.
"Dalam Umno, terdapat tukang cong, tukang bakar (mengapi-apikan) dan tukang menghancurkan parti dan mahu melihat parti ini berpuak-puak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Umno Bahagian Putrajaya semalam.
Tengku Adnan yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian Umno Putrajaya berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai buku senarai calon palsu yang dikesan diedarkan di beberapa bahagian di Perak seperti Tambun, bertujuan mengelirukan perwakilan untuk mengundi.
Buku bertajuk Kompas Pemilihan Umno 2013, itu didapati mengandungi maklumat palsu dengan nombor calon MT yang bertanding semalam telah ditukar.
Sementara itu, Tengku Adnan turut menasihatkan calon-calon supaya menerima sebarang keputusan pengundian dengan hati terbuka.
"Kita kena terima hakikat apa juga keputusan. Jangan kita buat perkara-perkara yang merosakkan parti. Yang penting fikir parti ini sebagai wadah perjuangan.
"Kita kena bertaut semula untuk menghadapi pilihan raya...lebih baik kita simpan tenaga kita untuk berhadapan dengan pembangkang pada PRU14 akan datang. Jangan kita bercakar satu antara satu sama lain dalam parti," katanya.
No comments:
Post a Comment