Tuesday, October 8, 2013

Tony Pua Diminta Mohon Maaf Isu 'Anjing Umno'


Lima cawangan Umno dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) di Putrajaya membuat laporan polis mendesak Ketua Publisiti DAP Tony Pua memohon maaf secara terbuka kerana menggelarkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Utusan Malaysia sebagai 'Anjing Umno'.

Cawangan Umno terbabit ialah Bunga Orkid, Bunga Ixora, Bunga Alamanda, Bunga Roselle dan bahagian Putrajaya manakala NGO terdiri daripada Kelab Belia Komuniti Putrajaya, Kelab Pendidikan dan Kesejahteraan Keluarga Presint Sembilan serta Koperasi Jaringan Komersial Melayu Putrajaya.

Ketua Umno Cawangan Bunga Ixora Zarina Ismail berkata kenyataan Pua berniat jahat dan dilihat sebagai menghasut orang ramai supaya marah serta membenci Utusan Malaysia dan ROS.

"Kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan Pua memandangkan ROS hanya menjalankan tugas sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab memantau pertubuhan parti di negara ini," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam.

Beliau berkata arahan pemilihan semula CEC dibuat berikutan aduan anggota DAP sendiri dan bukan atas kehendak ROS, oleh itu, Pua perlu belajar menerima kesilapan yang dilakukan partinya.

Justeru, Zarina meminta Pua memohon maaf secara terbuka kepada seluruh anggota Umno serta yang berkaitan, dan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.

Laporan Utusan Malaysia pada Jumaat mendakwa Pua mengeluarkan kenyataan itu di akaun Facebooknya pada 29 Sept selepas keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selesai.

No comments:

Post a Comment