Umno Seberang Takir pada Rabu mengadakan ibadah korban 11 ekor lembu yang diuruskan komuniti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata ini merupakan tahun ke-enam Umno Seberang Takir mengadakan ibadah korban, sebahagian daripada daging korban itu untuk diagihkan kepada umat Islam fakir miskin setempat.
"Bagi memudahkan pengagihan, pihak kita telah mengagihkan kupon kepada 1,100 fakir miskin dari 22 kampung di DUN ini, setiap kampung puratanya kita pilih 50 orang akan terima daging korban.
"Manakala sebahagian daging lembu korban akan dimasak oleh tukang masak Tabung Haji Hotel & Convention Centre sebagai juadah tengah hari untuk dijamu kepada semua warga DUN Seberang Takir di dewan hotel ini," katanya kepada pemberita selepas majlis korban di hotel itu sempena Aidiladha di Kuala Terengganu.
Program yang dianjurkan oleh Ahmad Razif yang juga merangkap anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir itu turut melibatkan lebih 100 warga tempatan serta petugas hotel.
Sementara itu Pengurus Besar hotel itu, Malizan Zakaria berkata pihaknya akan memberi dan menunaikan komitmen berterusan dalam program korban seumpama ini sebagai Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) memandangkan hotel tersebut baru mula beroperasi tahun ini.
Katanya ibadat korban yang diadakan secara gotong-royong itu bukan sahaja sebagai memenuhi tuntutan agama tetapi untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.
"Petugas-petugas dapat menjalin kemesraan bersama para penduduk kampung ketika majlis berlangsung termasuk ketika sama-sama melapah, mengagih dan temasak daging korban," katanya.
No comments:
Post a Comment