Thursday, November 7, 2013

Bersikap Terbuka Terima Maklum Balas Rakyat - Mazlan


Setiausaha Kerajaan Negeri menyeru semua penjawat awam supaya bersikap terbuka ketika menerima maklum balas rakyat sebagai usaha memperbaiki dan menambah baik kualiti sektor berkenaan selaras dengan transformasi perkhidmatan awam.

Datuk Haji Mazlan Ngah berkata, inisiatif yang harus dilaksanakan di semua jabatan kerajaan itu juga memerlukan semua kakitangan turun padang bagi mendekati rakyat, mendengar suara dan permasalahan secara langsung sebelum mengambil langkah proaktif serta penyelesaian yang terbaik.

“Selain turun padang, semua pegawai dan kaiitangan awam juga harus mengamalkan budaya musyawarah bersama pelanggan, fokus dan responsif dalam usaha mencapai sesuatu yang lebih baik.


“Pada masa yang sama, kita perlu mengukuhkan aspek insaniah dan kekitaan supaya kerjasama yang terjalin mampu mengukuhkan silaturahim dan ukhwah bagi melancarkan lagi tugas dan tanggungjawab,” kata beliau ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu pagi semalam.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Datuk Tuan Mamat Tuan Ngah.

Mazlan berkata, prinsip merakyatkan perkhidmatan awam sebagaimana saranan Ketua Setiausaha Negara yang juga menyarankan kerjasama strategik antara semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan bagi mengukuhkan sistem dan kecekapan perkhidmatan awam.

Beliau juga yakin penjawat awam di negeri ini akan menikmati faedah daripada penyusunan semula dan menaik taraf 81 Skim Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada pembentangan Bajet 2014, baru-baru ini.

“Pekeliling mengenainya dijangka akan dikeluarkan pada bulan ini dan sama-sama kita semua menunggu skim yang mana akan terlibat,” katanya.

Pada majlis  itu, seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah cemerlang bulanan bermula Julai hingga September tahun ini, yang disampaikan Tuan Mamat.

Teganukita

No comments:

Post a Comment