Tuesday, November 12, 2013

Blog ProPembangkang Siar Berita ADUN Paka Dalam Keadaan Tenat

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang tersiar dalam laman blog bahawa beliau dikatakan berada dalam keadaan tenat akibat penyakit kanser hati di tahap paling kronik.

Satiful Bahri yang juga Adun Paka ketika dihubungi hanya tergelak ketika dimaklumkan mengenai perkara itu dan memberitahu khabar angin tersebut sudah tersebar sejak kempen PRK Dun Sungai Limau.

“Kalau saya sakit tenat, sudah tentu hendak angkat telefon pun tidak boleh. Nampaknya ada pihak yang mahu supaya berlaku PRK lagi selepas PRK Dun Sungai Limau hingga sanggup menyebarkan berita sedemikian.

"Saya tiada kanser hati tetapi sakit hati adalah... (berhubung penyebaran berita tidak bertanggungjawab),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau menegaskan berada dalam keadaan sihat dan sedang mengambil anak dari sekolah ketika dihubungi mengenai perkara itu. Satiful Bahri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai artikel bertajuk ‘PR bersiap sedia hadapi PRK Dun Paka’ dalam sebuah laman blog bertarikh 10 November lalu.

Dalam laporan tersebut, blogger terbabit memberitahu dia difahamkan Satiful Bahri sedang berada dalam keadaan tenat dan boleh mati pada bila-bila masa akibat penyakit kanser hati tahap empat.

Satiful Bahri memberitahu, walaupun tidak terkejut dengan penyiaran artikel terbabit namun kecewa kerana isu kematian dan sakit seolah-olah dipermainkan lebih-lebih lagi blog terbabit dilihat sebagai pro pembangkang.

Berikutan itu, beliau turut menerima panggilan dan SMS daripada beberapa kenalan yang meminta kesahihan mengenai perkara terbabit.

“Kita harap siarlah berita yang betul, benar, ada adab dan akhlak. Kita juga lihat ada penyamaran seolah-olah berselindung di sebalik blog yang menyokong PR.

"Ini kerja orang politik untuk ambil kesempatan,” katanya.

Walaupun menyifatkan tindakan tersebut tidak wajar, pihaknya tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan sebaliknya mengharapkan pembaca lebih berhati-hati dalam menerima sesuatu berita dan mendapatkan maklumat sahih mengenai perkara yang disebarkan.

No comments:

Post a Comment