Perlindungan insurans berkelompok yang diperkenalkan untuk badan beruniform sejak 1 Jun lalu turut meliputi pasukan bomba sukarela, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Katanya skim itu memberi perlindungan sehingga RM18,000 kepada anggota bomba di negara ini termasuk anggota sukarela.
Pada masa ini terdapat 26,000 anggota bomba termasuk kira-kira 13,000 anggota sukarela, katanya dalam sidang media selepas penganugerahan pingat kebesaran jabatan dan penyampaian sijil perkhidmatan terpuji jabatan itu di Kuala Terengganu, kelmarin.
Dalam majlis itu Wan Mohd Nor turut menyerahkan pampasan RM16,000 kepada Napisah Deraman, balu Jabri Awang, seorang pegawai kanan bomba yang meninggal dunia akibat masalah jantung pada 12 Sept lepas.
Napisah, 40, berkata wang pampasan itu akan dimanfaatkan untuk membesarkan empat anak mereka yang berusia antara lapan dan 14 tahun.
Arwah suami berkhidmat dengan bomba selama 19 tahun dan bertugas di balai bomba di Dungun sebelum meninggal dunia, katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
No comments:
Post a Comment