Friday, November 22, 2013

Fama Johor Sasar RM70 Juta Nilai Jualan Produk 1Malaysia Best Tahun Depan

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor menyasarkan RM70 juta nilai jualan produk jenama 1Malaysia Best pada tahun depan.

Pengarahnya Faridulatrash Md Mokri berkata sehingga bulan lepas hasil jualan produk itu mencecah RM57.6 juta membabitkan 29 usahawan produk itu.

"Kita yakin jumlah itu akan meningkat kepada RM60 juta menjelang hujung tahun ini.
"Pada tahun lepas Johor mempunyai 25 usahawan produk berkenaan dan mereka berjaya mencatatkan rekod jualan bernilai RM54 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Fama negeri semalam.

Pihaknya juga menyasarkan pertambahan 20 lagi usahawan baharu bagi produk 1Malaysia Best pada tahun hadapan.

Produk 1Malaysia Best merupakan produk yang telah diperakui melambangkan identiti Malaysia sebagai usaha Fama untuk meningkatkan jualan dan profil produk berasaskan pertanian di pasaran tempatan dan global.

Faridulatrash berkata 32 usahawan produk itu akan menyertai Karnival 1Malaysia Best yang dijadualkan berlangsung di Projek Pertanian Moden Kluang bermula 27 Nov hingga 1 Dis ini serentak dengan Ekspo Agro Johor (Hari Peladang, Penternak dan Nelayan) peringkat negeri 2013.

Katanya daripada jumlah itu 20 usahawan adalah dari Johor manakala selebihnya merupakan usahawan dari Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.

Produk yang bakal dipasarkan termasuk makanan sejuk beku, produk berasaskan nanas, pastri, rempah-ratus, makanan dan minuman berasaskan sarang burung walit serta makanan ringan.

Pelbagai program menarik turut diadakan termasuk pertandingan menghias kek, demonstrasi membuat serta menggubah coklat, demonstrasi masakan serta cabutan bertuah, katanya.

No comments:

Post a Comment