Wednesday, November 20, 2013

Jeremy Galas Cabaran Negara Ke Piala Monsun 2013

Tunku Abdul Jalil (tiga dari kanan) bersama Koo Racing Team yang menjuarai Liga Layar Malaysia di Pulau Duyong.
Pasukan Koo Racing Team yang diketuai juragan Jeremy Khoo sekali lagi menggalas cabaran negara apabila mengesahkan slot ke Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013 yang diadakan di Pulau Duyung bermula 25 hingga 30 November ini.

Seperti diramalkan, Jeremy berjaya menempatkan dirinya selepas menjuarai saingan peringkat akhir Liga Layar Malaysia (LLM) 2013 yang berlangsung kelmarin di mana menyaksikan juara Malaysian Match Racing Circuit (MMRC) 2010, 2011 serta 2012 itu menewaskan saingannya, pelayar pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia 1, Masyuri Rahmat dengan kiraan 2-0.

Juragan berusia 32 tahun itu mengakui lawannya, Masyuri, memberikan tentangan sengit menyebabkan pasukannya terpaksa bekerja keras sebelum berjaya memenangi slot akhir berkenaan ekoran ketinggalan pada awal perlumbaan.

"Memang pada awal agak sengit kerana saya ketinggalan, namun pasukan saya berjaya bangkit semula sebelum terlambat dan menang dalam kedua-dua pusingan," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah yang disampaikan Tengku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dekat Kuala Terengganu, kelmarin.

Ditanya mengenai persiapan membawa nama negara pada kejohanan itu, Jeremy mengakui pada tahun ini dia dan pasukannya yakin dengan latihan dan kemahiran yang telah dipertingkatkan selepas mewakili kejohanan itu kali keempat dapat membaiki segala kelemahan sebelum ini. Jelasnya, jika semangat pasukan dapat dikekalkan selain mengurangkan kesilapan ketika belayar, mereka yakin dapat mencabar pelayar handalan dunia dalam kejohanan itu nanti.

"Kita berharap dapat menang sekurang-kurangnya dalam satu pusingan pada kejohanan itu nanti memandangkan pada kejohanan sebelum ini ada beberapa pusingan yang kami juga memberi saingan agak baik namun kurang bernasib baik dan tidak berjaya untuk menang dalam mana-mana pusingan," katanya. 

Sementara itu, tempat ketiga milik penyandang juara 2009, Mohd. Hazim Dermawan dari pasukan Permai Hotel Racing Team yang berjaya menewaskan Mohd. Saifullah Mohd. Esa dari pasukan Majlis Sukan Negeri Terengganu Sailing.

No comments:

Post a Comment