Tuesday, November 12, 2013

Kempen Pemilihan Pas Bermula Dengan Kotor?



Kurang 24 jam selepas senarai muktamad calon pemilihan Pas bagi sesi 2013-2015 diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya, Asmuni Awi, sudah pun muncul kempen memburuk-burukkan calon parti itu yang dimuat naik ke dalam laman media sosial Facebook semalam.

Menurut sumber Sinar Harian Online, kempen berbaur hasutan dan cuba menjejaskan undi calon Ketua Dewan Pemuda Pas itu menggunakan akaun ‘Fikrah Islamiah Pilihan Kami’ dengan mengubah wajah salah seorang calon yang bertanding iaitu Zulhazmi Shariff dengan gambar anjing.

Manakala dua lagi pencabar Zulhazmi seperti Suhaizan Kaian dan Kamaruzaman Mohamad pula menggunakan wajah sebenar.

Pemilik akaun tersebut turut memuat naik beberapa mesej yang merujuk kepada perjuangan kerajaan perpaduan yang sebelum ini lantang disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.

“Jika aning-anjing liberal ini berjaya menguasai parti, maka lihatlah sendiri akan lebih ramai lagi para pejuang Islam akan menerima nasib yang sama seperti Ustaz Nasarudin dan Dr Hassan Ali.

“Mereka akan terus menerus menjadi kuda kepada PKR dan DAP...maka ketika itu percayalah penyatuan umat Islam Melayu hanya akan tinggal impian,” katanya.

Selain menghasut, pemilik akaun tersebut turut mendakwa Suhaizan hanyalah ‘kambing hitam’ kepada golongan liberal dengan bertujuan untuk memecahbelahkan perwakilan Pas khususnya undi Kamaruzaman yang dikatakan mempunyai pemikiran Islam yang jelas.

“Golongan ini amat bimbang dengan Kamarulzaman yang mempunyai fikrah islam yang jelas maka Kamarulzaman wajib dinyah keluar dari Dewan Pemuda bagi melakasanakan kerja-kerja jahat mereka. 

“Perlu diingatkan bukan saja hala tuju parti kita terletak di tangan para perwakilan sekalian namun kekuatan ummah atau umat Melayu Islam juga terletak kepada keputusan yang kita buat dalam muktamar ini,” katanya sambil menyifatkan satu undi kepada Suhaizan bermakna akan menghilangkan satu undi kepada Islam.

Kempen itu jelas menyalahi peraturan pemilihan Pas kali ini yang membenarkan calon mempromosikan diri namun tertakluk beberapa garis panduan parti itu.

Antaranya ahli Pas dilarang menerbit, mengeluar, menyiar atau mengedarkan dalam sebarang bentuk kenyataan sama ada secara lisan atau bertulisan atau grafik atau karikatur dalam apa-apa medium sekalipun yang mengandungi fitnah, kejian, celaan, sindiran, atau apa jua kenyataan palsu sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan tujuan mempengaruhi atau mendorong mana-mana ahli Pas supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundi atau tidak mengundi mana-mana ahli Pas.

No comments:

Post a Comment