Monday, November 11, 2013

Kerajaan Negeri Pastikan Rakyat Nikmati Limpahan Kekayaan



Terengganu sedang mengalami transformasi cukup membanggakan apabila berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion sejak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) ditubuhkan sehingga sekarang.

Selain itu,  kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerajaan negerimembolehkan pelaksanaan pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) yang bakal melonjak kedudukan Terengganu sebagai gerbang pelancongan timur di semenanjung.

Berikutan itu, kerajaan negeri berjanji untuk memastikan rakyat negeri ini menikmati limpahan kekayaan hasil transformasi pembangunan di bawah  yang bakal mengubah landskap negeri itu kelak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Terengganu memiliki kelebihan dan keistimewaan daripada pelbagai khazanah semula jadi yang perlu diterokai, sejajar pelaksanaan ECERDC untuk manfaat bersama.

Justeru itu, kata beliau, rakyat perlu memainkan peranan aktif dalam memacu transformasi negeri ini dengan memperkasakan diri dengan ilmu serta kemahiran baharu bagi membolehkan mereka merebut peluang pembangunan.

"Saya ingin rakamkan setinggi penghargaan kepada pihak ECERDC atas usahanya memacu transformasi dan memajukan rakyat di Terengganu demi manfaat warga tempatan.

"Pihak kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan dan kerjasama bagi memastikan kelancaran kejayaan pelaksanaan projek dan program-program ECER di negeri untuk dinikmati rakyat," katanya.

Ahmad Said menyatakan perkara itu ketika berucap dalam program Hari Terbuka ECER Bersama Rakyat Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu, kelmarin (Sabtu).

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir. Rosli Othman; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan), Datuk Mat Razali Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

Ahmad Said berkata, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan atas peruntukan berjumlah RM1.1 bilion daripada kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC bagi melaksanakan 41 projek infrastruktur dan pembangunan modal insan di Terengganu.


No comments:

Post a Comment