Thursday, November 21, 2013

Ketua Kumpulan Tuhan Harun Ditangkap - Polis



Pemimpin kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saad telah ditangkap bersama-sama dengan dua suspek selepas serbuan di dua lokasi berasingan di Tangkak, Johor.

Suspek, termasuk isteri Harun ditahan kira-kira pukul 3.30 petang selepas sebuah pasukan petugas yang terdiri daripada polis Johor dan Pahang menyerbu lokasi berkenaan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan tangkapan.

"Suspek telah diserahkan kepada polis Pahang untuk siasatan lanjut.

"Mereka dikehendaki berkaitan pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Rafli Abdul Malek," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad Raffli, 49, sebelum kematiannya dipercayai sedang mengendalikan dua kes jenayah syariah di Pahang iaitu kes ajaran sesat Harun dan gerakan Syiah.

Harun menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan 10 pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, iaitu menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai 'tuhan' April lalu.

Tertuduh yang tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin. Harun bagaimanapun gagal hadir ke mahkamah rendah syariah pada sebutan pertama kesnya, 20 Ogos lepas dan kemudian 13 Nov lalu.

Ekoran itu, Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie mengeluarkan waran tangkap terhadap Harun selepas permohonan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie negeri Salehuddin Ab Manaf.

Dua hari kemudian, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap berkuat kuasa pada 16 November lepas terhadap enam pengikut kumpulan ajaran sesat itu selepas mereka gagal hadir di perbicaraan kes menyimpan dan memiliki dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak.

Mereka ialah Husin Ismail, 43; Pius Anahong @ Mahdi Abdullah, 40; Mohd Khalilie Zazali, 31; Syahiszam Soid, 40; Mohd Nizam Mohd Salleh, 43, dan Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menggesa 31 pengikut Tuhan Harun untuk menyerah diri secepat mungkin berikutan pembunuhan Ahmad Rafli.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata Harun dan pengikut-pengikutnya akan ditahan reman hari ini untuk siasatan polis.

"Satu sidang akhbar akan diadakan pada hari Khamis (hari ini)," katanya.

Harun yang menggelarkan dirinya "Tuhan 2013" dan membawa mazhab yang dipanggil Tuhan Harun sebelum ini telah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk aktiviti ajaran sesat dan tuduhan menipu.

No comments:

Post a Comment