Monday, November 25, 2013

K'jaan Terengganu Sumbang Kepada Kanak-Kanak Jantung Berlubang

Seorang kanak-kanak perempuan, Nor Aini Aqilah Hairon Nizam, berusia tiga tahun yang mengidap penyakit jantung berlubang mendapat sumbangan RM30,000 daripada kerajaan negeri Terengganu.

Bapa kanak-kanak, Nizam Abdul Halil, 30, berkata anaknya yang dipercayai mengidap penyakit jantung berlubang sejak berusia satu tahun 8 bulan, akan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di ibu negara esok.

Hairon dan isteri Nurul Asyikin Ramlan, 27, yang tinggal di Kampung Bukit Choras, Kota Sarang Semut berkata kos pembedahan anak mereka ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri termasuk penginapan sepanjang tempoh rawatan.

Tukang rumah itu berkata masalah anaknya mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ketika beliau turun padang berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau baru-baru ini.

Secara kebetulan semasa PRK itu, UMNO memutuskan menjadikan Sungai Limau yang merangkumi kampung tersebut, sebagai kawasan angkat.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada MB dan kerajaan Terengganu yang prihatin dan memberi sumbangan membantu pembedahan anak saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Alor Setar, semalam.

Hairon berkata penyakit anak perempuannya itu diketahui selepas berat badan berkurangan (sejak usia setahun), dan pernah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dua tahun lepas dan kini mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Katanya, pendapatannya sekitar RM700 tidak mampu untuk melakukan pembedahan dalam masa terdekat selain terpaksa berulang alik ke HSB setiap bulan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata pembedahan ke atas Nor Aini Aqilah perlu dijalankan segera memandangkan bahagian jantung berlubang itu ialah 1.5cm dan ia dianggap bahaya kepada kanak-kanak berkenaan.

No comments:

Post a Comment