Thursday, November 28, 2013

Lokasi Piala Monsun: Tak Perlu Lobi KBS - Ahmad Said


Kerajaan negeri Terengganu tidak berhasrat melobi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan hak untuk meneruskan penganjuran kejohanan Piala Monsun siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT) pada musim depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau menyerahkan kepada pihak penganjur untuk menentukan lokasi seterusnya sama ada mengekalkannya di Terengganu atau ingin beralih ke tempat baharu. 

Bagaimanapun, beliau berharap KBS dan pihak penganjur dapat memberi pertimbangan sewajarnya dalam perkara itu kerana Terengganu memiliki kemudahan yang lengkap selain pengalaman yang luas dalam penganjuran kejohanann berkenaan.

"Jika Terengganu terus dipilih (sebagai lokasi) penutup perlumbaan, sudah pasti kita akan memberi yang terbaik namun terpulang kepada mereka untuk menilai kerana jika mahu dibuat di tempat lain, negeri itu perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti yang kami miliki," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Rabu.

Beliau diminta mengulas cadangan KBS yang ingin melihat pembentangan kajian yang dilakukan sebelum menentukan lokasi terakhir siri jelajah dunia pada musim depan.

Pulau Duyung merupakan peringkat keenam dan terakhir dalam kalendar siri jelajah AWMRT selepas Langenargen di Jerman, Gyeonggi (Korea Selatan), Marstrand (Sweden), Chicago (Amerika Syarikat) dan Hamilton (Bermuda).

Ahmad Said juga berkata jika Terengganu tidak dipilih pada tahun depan, kerajaan negeri akan menganjurkan acara sukan lain di lokasi sedia ada.

No comments:

Post a Comment