Lawatan Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun di Pasar Jelutong di Georgetown bertukar 'kecoh' apabila seorang pekerja Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menggesanya menggugurkan label 'kucing kurap' yang ditujukan kepada kakitangan bawahan MPPP, Sabtu lepas.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi semalam, bekas Timbalan Presiden Kesatuan Buruh MPPP Mohd Rofi Osman mendekati Ooi, yang ketika itu sedang mengadakan sidang akhbar mengenai penjaja tidak berlesen, dan dengan suara yang kuat memintanya memohon maaf secara terbuka kepada semua kakitangan MPPP.
Keadaan itu mendorong orang ramai berkerumum di situ manakala beberapa petugas di situ menasihatkan Mohd Rofi agar beredar dari situ.
Ooi segara menamatkan sidang akhbar itu dan beredar sambil berkata, "wartawan boleh tanya ini superstar kita (sambil menunjuk kepada Aminah Abdullah) saya dah siap ya (sidang akhbar)," katanya.
minah ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia yang turut berada di lokasi kejadian.
Mohd Rofi, 58, yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dengan MPPP berkata beliau kesal dengan sikap Ooi yang seolah-olah tidak berasa bersalah dan memandang remeh permintaannya itu.
"Sebagai seorang wakil rakyat yang berpelajaran tinggi dia (Ooi) tak boleh cakap begitu...dia sepatutnya profesional dan sedar perbuatannya itu telah mengguris perasaan pekerja bawahan seperti saya," katanya.
Terdahulu, Ooi meninjau pasar berkenaan bersama sekumpulan pegawai MPPP untuk menyelesaikan masalah isu kebanjiran penjaja tidak berlesen di sekitar Jelutong.
Katanya seramai 79 penjaja tidak berlesen telah dikenal pasti dan kerajaan negeri bercadang menempatkan mereka di kompleks peniaga yang akan dibina secara berperingkat di Sungai Pinang dengan fasa pertama dijangka siap pada 2015.
Ketika ditanya mengenai kenyataan "kucing kurap" itu, Ooi mengaku memberi label 'kucing kurap' kepada kepada beberapa pegawai MPPP Sabtu lepas kerana mereka tidak membawa perangkaan terkini mengenai kedudukan penjaja di Jelutong selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi lawatan itu.
"You are insulting me by sending a lower officer itu 'kucing kurap' (anda menghina saya dengan menghantar pegawai pangkat rendah itu 'kucing kurap')... kita nak selesaikan masalah tetapi pegawai kanan itu serah kepada seorang yang lebih junior dan mereka tidak boleh buat keputusan," katanya.
No comments:
Post a Comment