Kesedaran dan perasaan takut ditangkap apabila melakukan kesalahan jalan raya di negara ini masih rendah berbanding negara maju, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad.
Beliau berkata pada masa ini pihaknya mendapati perasaan takut ditangkap apabila melakukan kesalahan jalan raya di kalangan pemandu negara ini hanyalah 35 peratus.
"Sebenarnya kajian dibuat Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) mendapati perasaan masyarakat kita takut ditangkap ini hanyalah sedikit sedangkan bagi masyarakat negara maju mereka merasakan mereka senang ditangkap sama ada melalui kaedah penguatkuasaan mahupun kaedah kamera," katanya.
Beliau berkata pihaknya berharap perasaan takut ditangkap apabila melakukan kesalahan lalu lintas di negara ini akan dapat ditingkatkan kepada 75 peratus menjelang tahun 2020.
Pengenalan Skuad Muda 1JPJ, pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mulai tahun depan selain penggunaan anggota JPJ dan polis diharap dapat mencapai peratusan itu secara berperingkat, katanya.
"Kami sedar bukan senang hendak menimbulkan perasaan dan kesedaran secara pantas di kalangan pemandu dan jika dapat ditingkat secara berperingkat ia merupakan satu perkara baik," katanya.
No comments:
Post a Comment