Wednesday, November 6, 2013

PLBT Fokus Lima Kejohanan Sebelum Tirai 2013 Dilabuhkan

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan memberi fokus kepada lima kejohanan lumba basikal sebelum melabuhkan tirai, tahun ini.

Ketua jurulatihnya Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata kejohanan itu ialah Kejohanan Kreterium di Sepang, Selangor pada 10 Nov; masing-masing dua kejohanan Grand Prix (GP) Kebangsaan ke-4 di Negeri Sembilan (15-17 Nov) dan GP terakhir di Melaka (22-24 Nov); Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Lekas di Selangor (24 Nov) dan Trek Remaja Kebangsaan, di ibu negara (25-28 Nov).

"Fokus utama menghabiskan penyertaan kejohanan tahun ini ialah untuk menyediakan barisan atlet yang akan membawa cabaran Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis, tahun depan.

"Kita akan jadikan kejohanan ini sebagai penutup tirai aktiviti kita bagi tahun 2013 ini," katanya semalam.

Beliau berkata PLBT menyenaraikan 16 pelumba untuk membawa cabaran Terengganu dalam semua kejohanan itu. Syed Mohd Hussaini berkata kedudukan Terengganu dalam GP kebangsaan agak baik apabila tiga atletnya menguasai kejohanan daripada tiga sirkit yang lepas dalam acara 'time trial' individu.

Katanya mendahului kejohanan itu kini ialah Mohd Badrul Hakimi Hamid setelah mengumpul 50 mata diikuti Nor Aiman Mat Zarif tempat kedua (30 mata) dan Mohd Zulfakri Hamdan tempat kelima (25 mata).

Beliau berkata bagi acara lebuh raya kategori junior pula, atlet Terengganu Ahmad Azri Ahmad menduduki tempat kedua keseluruhan setakat ini dengan mengumpul 28 mata di belakang pelapis kebangsaan Irwandi Lakesek (30 mata).

Katanya dua lagi atlet Terengganu Che Ku Syamir Ramli dan Mohd Zulkifli Hamdan pula masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima dengan 24 dan 22 mata.

No comments:

Post a Comment