Wednesday, November 20, 2013

Remaja 17 tahun Mengaku Bersalah Melarikan Kenderaan

Seorang remaja yang ditahan kerana melarikan dua kenderaan dengan salah satunya terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang bayi koma pada awal bulan ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Dungun, kelmarin.

Remaja berusia 17 tahun itu didakwa atas empat pertuduhan iaitu masing-masing dua pertuduhan mencuri dua buah kereta dan dua pertuduhan secara salah mengurung penumpang-penumpang dalam kenderaan tersebut.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Hazwani Husain Bustari.

Dua daripada pertuduhan itu sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Majistret Hulu Terengganu namun dibawa ke Dungun, ekoran ketiadaan majistret di mahkamah berkenaan pada waktu ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri kereta jenis Nissan Grand Livina kira-kira pukul 5.50 petang, 4 November lalu di Hentian Rehat & Rawat (R & R) Susur Ajil-Kuala Berang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Tertuduh juga didapati didakwa secara salah mengurung Pirhat Karim, 34; Che Mastura Che Awang, 31, serta Muhammad Asyraf Ikhwan Pirhat, 9 bulan; di dalam kenderaan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa mencuri sebuah kereta jenis Perodua Myvi di antara pukul 6 hingga 6.45 petang pada tarikh yang sama di Jalan Jerangau-Jabor, Al-Mukhtafi Billah Shah, Dungun. Selain itu, dia didakwa secara salah mengurung Habibah Teh, 50; Azrul Fazli Mustafa Kamar, 14; Nur Anisya Qistina Khairul Nazri, 5 dan Muhammad Ariff Takumi Khairul Nazri, 2; pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu masing-masing turut dikemukakan mengikut Seksyen 379A dan 342 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh. Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan kes di Mahkamah Majistret Hulu Terengganu manakala pertuduhan di Mahkamah Majistret Dungun pula ditetapkan pada 22 Disember depan.

Tarikh tersebut ditetapkan sementara menunggu laporan akhlak tertuduh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri diperolehi.

No comments:

Post a Comment