Sunday, November 3, 2013
'SL Untuk SL', Dr Sohaimi Mahu Curah Bakti kepada Sungai Limau
Calon Barisan Nasional berkempen melalui slogan 'SL untuk SL' atau 'Sohaimi Lazim untuk Sungai Limau atau sebaliknya.
Beliau yakin melalui slogan itu rakyat di Sungai Limau faham dan sedar beliau ingin sangat berbakti kepada kampungnya.
Kerana itu, tempoh berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau tinggal kurang dari 48 jam dan calon Bn berkenaan, Dr Ahmad Sohaimi Lazim terus konsisten menjelajah ke seluruh pelusuk kawasan untuk bertemu sebanyak mungkin pengundi.
Seawal 8.30 pagi, bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu memulakan kempen dengan menghadiri seminar pemantapan akidah di sebuah sekolah agama dekat Yan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Selepas itu, beliau bersama-sama Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid menghadiri program taklimat bekalan elektrik.
Ahmad Sohaimi juga sempat bersarapan di rumah bekas Pengerusi Belia 4B daerah Yan iaitu Pak Tam Daud serta menziarah keluarga Yusrizan Yusof, 46, di Kuala Sedaka yang meninggal dunia semalam.
Sejak penamaan calon, setiap hari program Ahmad Sohaimi tidak berhenti-henti dari pagi hingga malam dengan berbekalkan harapan dan keazaman bagi memastikan mesej pembangunan beliau sampai ke setiap lapisan pengundi di kawasan itu. Ahmad Sohaimi, anak kelahiran Kampung Titi Batu, berkata mulai semalam hingga hari ini, fokusnya akan lebih ke arah program kecil dengan memperbanyak hentian antara satu lokasi agar dapat memberikan lebih 'sentuhan peribadi'.
"Kita akan gunakan kesempatan ruang masa yang ada untuk yakinkan golongan pengundi di sini bahawa perubahan hanya dapat dilakukan dengan mengundi BN.
"Kita akan meminta masyarakat di sini menilai komitmen dan janji yang saya sampaikan, bahawa kita akan memastikan kemajuan adalah untuk semua tanpa mengira ideologi politik masing-masing," katanya kepada pemberita di kediaman beliau di sini selepas hampir setengah hari berkempen.
Jadual padat beliau selama dua minggu lepas banyak tertumpu kepada kaedah mendekatkan diri dengan pengundi, sama ada golongan muda atau tua. Ahmad Sohaimi dilihat lebih gemar singgah di lokasi strategik seperti sekolah, kedai kopi, melakukan tinjauan mesra di pasar tani, bagi memperbanyakkan lagi kempen secara bersemuka.
Namun begitu beliau tidak mengabaikan segala program anjuran BN yang turut melibatkan kehadiran pemimpin tertinggi parti termasuk Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Menteri Besar. Selain itu, program Ketua Umno Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan anggota Parlimen Jerai serta pemimpin lain seperti Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan program Wanita serta Puteri.
Ahmad Sohamimi turut menghargai sokongan tidak berbelah bagi jentera komponen BN serta badan perhubungan Umno negeri yang sanggup berkampung dan membantu melancarkan kempen untuk beliau sejak 23 Okt lepas.
"Ia sangat membantu dan saya ucapkan berbanyak terima kasih. Bagi saya, ini adalah bukti ukhwah persaudaraan yang sangat kukuh sama ada dalam Umno mahupun BN sendiri," katanya.
Kempen hari-hari terakhir beliau turut disertai pasukan pemantau Universiti Malaya yang diketuai kenalan rapat Ahmad Sohaimi iaitu Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
"Kehadiran dan komitmen mereka dalam menyertai pasukan kempen saya adalah satu motivasi untuk saya melakukan yang terbaik," katanya. Sementara itu, Mohammad Redzuan, yang juga pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya UM, berkata faktor yang beliau lihat akan mempengaruhi pengundi ialah sejauh mana keberkesanan 'sentuhan peribadi' calon.
"Pada pengamatan saya, satu perkara yang jelas ialah kurangnya kehadiran polis malahan markas taktikal mereka juga lebih kecil berbanding PRK sebelum ini. "Ini menggambarkan satu kematangan luar biasa yang sudah sekian lama masyarakat di sini capai dan membuktikan mereka langsung tidak mudah untuk dipengaruhi isu dan sentimen dari luar," katanya .
Mohammad Redzuan juga berkata beliau melihat Ahmad Sohaimi sebagai seorang yang cukup arif tentang isu dan permasalahan yang melingkari sentimen penduduk setempat dan ini sedikit sebanyak dapat membantunya dalam kempen bagi kerusi DUN Sungai Limau.
Pada PRK esok, Ahmad Sohaimi akan berdepan calon PAS Mohd Azam Abd Samat.
No comments:
Post a Comment