Thursday, November 14, 2013

Songket Terengganu Punyai Kelas Tersendiri - Kraftangan Malaysia


Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) berpendapat,songket Terengganu berada dalam kelasnya yang tersendiri

Berikutan itu usahawanindustri songket di negeri ini yang bimbang dengan lambakan songket tiruan dari luar seperti India, Indonesia dan Pakistan, tidak perlu bimbang.

"Songket Terengganu ada peminatnya tersendiri kerana keunikan dan kehalusan seninya yang menyebabkan orang sanggup membayar harga yang mahal untuk memilikinya.

"Bagi saya, industri ini tidak akan terjejas dengan songket tiruan kerana ia mempunyai segmen pasaran yang berbeza," kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Kamil Mohd Ali.

Beliau juga mahu peniaga tempatan bersikap jujur terhadap pelanggan mengenai mutu songket yang dijual bagi menjaga imej industri songket di Terengganu.

Katanya, perbadanan itu menyasarkan jualan produk RM350 juta sehingga akhir tahun ini, iaitu peningkatan RM10 juta berbanding tahun lepas.

Katanya, Kraftangan Malaysia yakin mencapai sasaran itu berikutan nilai jualan produk yang direkodkan mencecah kira-kira RM300 juta sehingga 30 Sept lepas.

"Daripada jumlah itu, RM42 juta nilai jualan adalah hasil promosi Kraftangan Malaysia yang diadakan di luar negara dengan membawa usahawan tempatan ke setiap destinasi pameran yang kita sertai.

"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, pihak kami akan mengenal pasti usahawan yang layak untuk menyertai pameran di beberapa destinasi termasuk Milan, Hong Kong, Paris, New York dan Dubai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis menandatangani dan penyerahan watikah Adiguru Kraf 2013 di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu Mohd Latif Dirun dan Pengarah Bahagian Pemuliharaan Kraftangan Malaysia Zainal Abidin Che Pa.

No comments:

Post a Comment