Wednesday, November 6, 2013

Najib - Tindakan COMANGO Bawa Laporan Ke PBB Bertentangan Perlembagaan Negara

Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah bersama Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor ketika menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1435H/2013M Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, semalam.
Tindakan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) yang membawa laporan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut beberapa perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata kerajaan sentiasa menimbang pandangan semua sektor termasuk NGO dan pendirian kerajaan adalah berdasarkan perlembagaan dan undang-undang negara.

Anggota COMANGO yang menghantar laporan kepada PBB.
Di samping itu, beliau berkata kerajaan juga mengambil kira kedudukan Islam dalam negara ini dan juga keperluan menghormati agama lain. COMANGO antara lain menuntut kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragama dengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan keIslaman seseorang itu.

Selain itu, COMANGO menuntut menghapuskan undang-undang jenayah syariah yang sedang berkuatkuasa; mengiktiraf hak pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT); menghalalkan perzinaan atas alasan kedua-dua pihak rela dan bersetuju.

"Apa juga tuntutan mereka akan dipertimbangkan berdasarkan faktor yang disebut di atas, kami akan pertimbangkan keputusan yang sewajarnya untuk diambil dengan berdasarkan apa juga tuntutan atau pendirian yang mereka kemukakan kepada kerajaan," katanya.

Perdana Menteri menyatakan perkara itu pada sidang media selepas menghadiri sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Putrajaya, semalam.

Azril Mohd. Amin (duduk, paling kiri), Nasharudin Mat Isa (duduk, paling kanan) bersama wakil Yayasan Cordoba, Dr. Abbas Urwah (duduk, dua dari kiri) dan delegasi MuslimUPro di Geneva, Switzerland, 22 Oktober lalu.
Pada 22 Oktober lalu, Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) ke Geneva, Switzerland menyifatkan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh COMANGO kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggap tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketua Delegasi pertubuhan berkenaan, Azril Mohd. Amin berkata, tindakan Comango itu sengaja menimbulkan kekeliruan seolah-olah Malaysia adalah sebuah negara sekular yang meletakkan semua agama sama rata.

Menurut beliau, perbuatan itu bertujuan meletakkan apa sahaja dasar dan undang-undang yang digubal kerajaan atau majlis-majlis agama Islam negeri di bawah seliaan serta pemerhatian Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

"Kerajaan perlu menjelaskan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bahawa sekalipun rakyat di negara ini terdiri daripada penganut pelbagai agama dengan 60 peratus daripadanya umat Islam, Malaysia berkewajipan untuk memelihara agama Islam setiap masa.

"Kealpaan perwakilan negara untuk memberikan perhatian utama kepada kewajipan memelihara agama Islam dalam perundingan antarabangsa boleh mengakibatkan Malaysia dihalang (estopped) pada masa akan datang daripada bersandarkan kepada hujah kedaulatan Islam,'' katanya dalam memorandum MuslimUPro yang disiarkan menerusi blog http://azrilmohdamin.com baru-baru ini.

Raime...ROS perlu siasat
Di Dewan Rakyat, pada 1 November lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa menyiasat status 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang membuat tuntutan bercanggah dengan Islam serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) berkata tindakan tegas itu perlu bagi mengenal pasti sama ada kesemua NGO itu merupakan pertubuhan berdaftar selain memastikan tidak ada nama NGO yang diperalatkan bagi kepentingan gabungan itu.

"Tuntutan Comango tidak selari dengan Perlembagaan negara kita dan kenyataan mereka ini memberi gambaran buruk terhadap negara kita selain boleh menjejaskan hubungan baik dan nama Malaysia dengan mana-mana negara hingga boleh menjejaskan prospek ekonomi perdagangan dan hubungan antarabangsa.

"Kita juga takut NGO ini hanya digunakan pihak tertentu dan memasukkan (nama) dalam gerakan Comango, mungkin ada NGO yang teraniaya atau sebaliknya sebab itu kita mahu ROS siasat segera masalah ini," katanya.

 Berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat, Raime turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyiasat Sisters In Islam (SIS) yang turut tersenarai dalam gabungan itu kerana menyifatkannya berbahaya kepada umat Islam, lebih-lebih dengan kebanyakan tuntutan Comango bertentangan dengan Islam

 "Comango jelas sekali menidakkan peranan dan kewujudan umat Islam di negara kita dan adalah sesuatu yang mendukacita, jika SIS berada dalam kelompok Comango ini, saya pohon Jakim siasat," katanya. 

Katanya tindakan segera perlu bagi memerangi sebarang usaha jahat untuk mengenepikan undang-undang negara dan agama Islam di negara ini selain memastikan tidak ada pihak lain yang mengambil kesempatan di atas isu itu yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam dalam negara.

Comango yang merangka kandungan laporan mengenai hak asasi manusia antara lain menuntut hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, bisexual, transgender, intersex, queerperson (LGBTIQ), mempertikaikan peruntukan tertentu dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita Islam, dakwaan diskriminasi terhadap pengikut Syiah, bantahan pengharaman bahan-bahan penerbitan yang menyalahi hukum Syarak dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment