Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini membuka sayapnya ke Jepun dengan menjalinkan kerjasama dengan dua buah universiti dan sebuah syarikat membuat robot di negara tersebut.
Naib Canselornya Profesor Dr Yahaya Ibrahim berkata pihaknya menjalinkan kerjasama dengan menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) yang berbeza dengan Universiti Okayama dan sebuah syarikat robotik iaitu A life Robotics Corporation Ltd serta bakal bekerjasama dengan Universiti Tokushima dalam satu penyelidikan nasional kerajaan Jepun.
"Kita telah menandatangani MoU dengan Universiti Okayama pada 18 Oktober lalu sempena lawatan UniSZA ke Jepun dan MoU ini memfokuskan kepada aspek pengajaran, penyelidikan bidang robotik, kejuruteraan komputer serta teknologi komunikasi yang ditawarkan di bawah Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan (FRTK) UniSZA dan dua pakar bius akan dihantar untuk berkhidmat di UniSZA selama dua tahun.
"Sementara itu, kita telah mendapat persetujuan dari Ketua Pegawai Eksekutif A Life Robotics Corporation, Dr Masanori Sugisaka untuk menjadi penasihat penubuhan program robotik di FRTK dan kita telah menandatangani MoU dengan beliau untuk tujuan itu dan turut dibincangkan adalah mengenai kerjasama dalam bidang penyelidikan robotik, penganjuran persidangan antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.
Menurutnya, UniSZA juga turut ditawarkan untuk menyertai satu projek penyelidikan nasional kerajaan Jepun selama sembilan tahun bersama Universiti Tokushima.
"Ianya satu penghormatan tertinggi khususnya bagi UniSZA dan FRTK khasnya apabila ditawarkan menyertai projek yang bernilai RM30 juta setahun dan memakan masa selama sembilan tahun untuk disiapkan dan kita juga akan menandatangani MoU dengan universiti itu awal tahun depan bagi membolehkan program pertukaran staf akademik, penyelidikan sabatikal dan pertukaran pelajar," katanya.
Dr Yahaya berkata pihaknya berharap agar lebih ramai staf akademik UniSZA dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke negera tersebut apabila termeterainya MoU dengan Universiti Tokushima ini tahun depan.
No comments:
Post a Comment