Monday, November 25, 2013
UTeM, Kerajaan Terengganu Kerjasama Urus Sumber Hutan
Kerjasama antara kerajaaan Terengganu dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam pengurusan sumber hutan di negeri itu diharap mampu mengawal keseimbangan dan menjaga ekosistem tempatan.
Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah berkata menerusi kerjasama itu pihaknya membangunkan sebuah sistem yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Perhutanan Bersepadu Negeri Terengganu (T-ifms), yang antara lain mampu mengawal sumber hutan dengan berkesan.
Menurutnya sistem T-ifms adalah sebuah sistem berpusat yang ditambah baik menggunakan sepenuhnya perisian sumber terbuka yang menggantikan sistem yang beroperasi secara bersendirian sebelum ini.
"Ia sebuah sistem yang bersifat fleksibel dengan memberi kemudahan kepada pengguna untuk menyelenggara maklumat yang diperlukan mengikut kesesuaian.
"Sistem ini nanti akan menggunakan satu jadual isi padu setempat dan boleh membuat perbandingan seperti penandaan pokok dan pengeluaran di balai pemeriksaan hutan," katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Terengganu dan UTeM di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya, melalui sistem itu juga pengeluaran hasil sebenar akan diketahui dalam usaha meningkatkan lagi kutipan hasil hutan selain penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan teratur.
Pada majlis itu, Mazlan dan Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu Azmi Nordin mewakili kerajaan negeri manakala UTeM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Ahmad Yusoff Hassan dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) Prof Dr Shahrin Sahib serta disaksikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong.
Menurut Mazlan, melalui MoU berkenaan, diharapkan kajian dan pembangunan menyeluruh sistem T-ifms dapat dilakukan bagi memelihara dan menguruskan sumber hutan dengan lebih efisyen serta melindungi alam sekitar.
Sementara itu, Ahmad Yusoff berkata UTeM akan menyediakan kepakarannya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerana universiti itu mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
"Ini satu pakatan strategik yang diperlukan untuk bergabung bagi menghasilkan sesuatu yang baik dalam pengurusan perhutanan," katanya menambah kerjasama dalam lima fasa itu, bermula sejak tahun lepas melibatkan peruntukan berjumlah RM338,000.
No comments:
Post a Comment