Veteran Umno Malaysia berharap Jawatankuasa Usul yang dipengerusikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dapat mempertimbang usul politik khas membincangkan masa depan parti dibahaskan pada perhimpunan agung Umno yang bermula 5 Dis ini.
Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub mencadangkan perkara itu dibahaskan dalam usul bertajuk 'Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 13 dan Pemilihan Umno 2013: Menjelang PRU 14'.
"Banyak 'kecederaan' berlaku semasa PRU13 dan semasa pemilihan Umno.
Semuanya akan memberikan kesan pada PRU 14 nanti. Veteran berharap jangan biarkan 'kecederaan' itu menjadi seperti api dalam sekam," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Justeru itu, beliau berharap usul politik khas itu dapat merungkai kekusutan dalam parti di semua peringkat kerana cara itu membolehkan pucuk pimpinan memikirkan cara bagi 'mengubati kecederaan' tersebut.
Mustapha juga berharap semua perwakilan setiap negeri yang akan berbahas melakukan 'homework' dan diberikan kebebasan untuk menyuarakan pandangan tanpa sebarang sekatan dan larangan.
"Veteran berharap semua perwakilan yang diberi peluang untuk membahaskan semua usul dalam perhimpunan itu dapat mengutarakan pandangan dan cadangan yang bernas dan bermaklumat.
"Berhenti daripada menjadi tukang lawak untuk mendapatkan tepukan atau sorakan. Berhenti daripada menjadi tukang bodek dan ampu pucuk pimpinan parti dengan harapan diberikan perhatian bagi mendapat ganjaran menjadi calon PRU akan datang," katanya.
Mustapha berkata perhimpunan agung perlu menjadi medan muhasabah diri dan pucuk pimpinan harus bersedia untuk mendengar walaupun 'terkena diri sendiri' kerana itu adalah peluang untuk membetulkan kesilapan dalaman untuk kekal relevan dan mendapat kepercayaan rakyat pada PRU14.
No comments:
Post a Comment