Polis menahan seorang wanita warga Vietnam dipercayai keldai dadah yang cuba menyeludup 3.134 kilogram syabu bernilai RM600,000 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu, Sabtu lepas.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata suspek itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di hadapan balai ketibaan domestik LTSM selepas melihat wanita berumur 31 tahun itu yang membawa beg pakaian dalam keadaan mencurigakan.
"Wanita itu menaiki penerbangan dari India dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke negeri ini bersama bagasi berisi dadah," katanya dalam satu sidang media di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya hasil pemeriksaan ke atas beg berkenaan, polis menemui ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu yang disorok dalam beg pakaiannya yang diubah suai.
Katanya modus operandi sindiket dadah ini menggunakan lapangan terbang kecil bagi menyeludup dadah ke negara ini bagi mengaburi pihak berkuasa selain mengelak pemeriksaan teliti di KLIA.
No comments:
Post a Comment