Thursday, December 12, 2013

Bajet 2014 Perkukuh Ekonomi Negara, Jamin Kemandirian Domestik - Najib

Najib bersama Muhyiddin bergambar selepas Mesyuarat Pelaksanaan Langkah Bajet 2014 bersama Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha di Bangunan Perbendaharaan Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Bajet 2014 yang memberi fokus kepada kekuatan domestik akan memperkukuhkan ekonomi negara dan menjamin kemandirian domestik.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kekuatan itu akan menjadi penahan bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan luar yang berlaku di luar kawalan.

"Kita berharap bajet ini akan dilaksanakan berdasarkan objektif untuk membangunkan ekonomi, menentukan pertumbuhan yang memuaskan dan memperkukuhkan domestic resilient (kemandirian domestik)," kata beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Langkah Bajet 2014 bersama Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha di Kementerian Kewangan di Putrajaya, semalam.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan SriKhalid Abu Bakar dan menteri-menteri kabinet turut hadir.

Najib mahu kementerian mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan pelaksanaan bajet dapat dijalankan secara berkesan dan memenuhi objektifnya.

Beliau menyaran agar kementerian dan agensi bekerjasama dalam melaksanakan projek dan program supaya tidak timbul kekeliruan yang boleh melambatkan pelaksanaannya.

Pada 25 Oktober lepas, Najib membentangkan Bajet 2014 bertemakan "Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji".

No comments:

Post a Comment