Monday, December 2, 2013

Gara-Gara RM500 - 'Anak Derhaka' Mahu Bunuh Ibu

Mengaku ugut nak bunuh ibu Nasib Arif Hilmi ditentukan 1 Januari depan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap kedua ibu bapanya serta satu pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis.
Seorang lelaki layak digelar anak derhaka apabila dengan lagak selamba mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, mengugut akan membunuh ibu kandungnya selepas bengang mangsa tidak memberikan wang RM500 seperti yang diminta.

Arif Hilmi Mohamad @ Kamal Arifin, 33, mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Adnan Salim, 61, dengan meminta wang RM500 dan mengugut akan membunuh mangsa jika tidak memberikan wang diminta.

Dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu di kediaman mereka di Kampung Padang Nanas, Mengabang Telipot, di Kuala Terengganu,  pada 19 September lalu, kira-kira 6 petang. 

Selain itu, Arif Hilmi turut mengaku bersalah mengugut akan membunuh kedua ibu bapanya iaitu Mohamad @ Kamal Arifin Abdullah, 74, dan Adnan Salim, 61, di kediaman mereka, pada 24 November lalu, kira-kira jam 6 petang.


Bagi kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu, Arif Hilmi berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam masa sama, Arif Hilmi juga mengaku bersalah telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis Mohd Ruwaidi Mohamad Zin; Hazrul Hizwan Mohd Ghazali; Ahmad Izuddin Mohd Rosli dan Hammizie Hamaran.

Dia mengaku melakukan kesalahan dengan niat hendak menakutkan anggota tersebut daripada menjalankan kewajipan mereka sebagai penjawat awam di kediamannya, pada 24 November lalu, jam 6 petang.

Atas dakwaan itu, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Sejurus pengakuan bersalah ketiga-tiga pertuduhan direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 1 Januari depan sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan Arif Hilmi diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment