Pasrah selepas suaminya yang dikhuatiri lemas masih belum ditemui, Amizah Mohd Zain, 25, redha dengan ketentuan Illahi.
"Ya Allah kau campakan segera mayat suamiku ke darat, aku redha dan sedia menerima pemberian mu,” doanya selepas pasukan mencari dan menyelamat gagal mengesan suaminya, Ghafar Manaf, 32, yang lemas ketika mandi di Pantai Sura Hujung, semalam.
Dalam kejadian, kira-kira jam 6.20 petang, semalam, mangsa yang berasal dari Semporna, Sabah dikatakan dipukul ombak sebelum ditarik ke laut.
Gerakan mencari dan menyelamat membabitkan 41 anggota polis, Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) masih belum menemuinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, keadaan laut yang bergelora menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat mengambil langkah dengan kaedah pemantauan di sepanjang pantai.
Katanya, keadaan ombak besar dengan laut bergelora itu turut berbahaya untuk penggunaan bot termasuk aktiviti selaman bagi mengesan mangsa.
"Keadaan ombak setinggi dua meter menyebabkan usaha mengesan mangsa dengan menggunakan bot amat berbahaya kepada pasukan menyelamat," katanya.
No comments:
Post a Comment