Tuesday, December 10, 2013

Kedah Sedia Bantu Negeri Terjejas Banjir - Mukhriz

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir  pihaknya bersedia menghulurkan bantuan kepada negeri yang terjejas oleh banjir seperti Terengganu dan Johor mengikut keperluan.

"Lepas surut banjir nanti, banyak kerja perlu dilakukan dan kita akan bantu secara berfasa khususnya membersihkan rumah, memulihkan kerosakan harta benda dan sebagainya," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir ke Kuantan oleh Badan Perhubungan Umno Kedah di Kuala Lumpur, kelmarin.

Umno Kedah menghantar bantuan bernilai RM60,000 berbentuk barangan keperluan seperti ubat dan berus gigi, sabun, lampin serta tuala wanita ke pejabat Umno di Kuantan untuk diagihkan kepada kira-kira 5,000 mangsa banjir.

Sementara itu, semua pemilik tanah di Kedah perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri dan Jabatan Warisan sekiranya ada binaan yang boleh dianggap sebagai binaan arkeologi di dalam kawasan milik mereka sebelum menjalankan sebarang kerja pembinaan.

Mukhriz berkata arahan akan dikeluarkan bagi mengelak berlakunya insiden kemusnahan di Candi 11, Sungai Batu, Lembah Bujang pada Isnin lepas, berulang kembali.

"Saya dah beritahu Setiausaha Kerajaan Negeri, dan ini akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu mengenal pasti pemilik-pemilik tanah untuk menghantar 'circular' (surat pekeliling) ini,"

Mukhriz berkata pembinaan semula candi bersejarah yang wujud pada kurun ke-8 itu tidak menjadi masalah kerana candi yang dimusnahkan itu juga bukan yang asal tetapi dibina semula pada tahun 1974.

No comments:

Post a Comment