Thursday, December 12, 2013

Kerja pembersihan banjir di Kemaman ambil masa dua minggu: MPK



 Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menjangka tempoh dua minggu diperlukan untuk mengembalikan tahap kebersihan beberapa kawasan yang dilanda banjir di daerah itu, minggu lalu.

Yang Dipertua MPK, Mustafar Khalid, berkata sebanyak 20 lori berkapasiti 10 tan, 12 jengkaut dan lima lori kecil digerakkan bagi kerja pembersihan, termasuk mengangkut sampah sarap pukal dan domestik, di 30 taman perumahan dan beberapa kawasan lain yang dilanda musibah itu.

Beliau berkata, kerja pembersihan yang bermula hari ini dibahagi kepada tujuh zon berdasarkan kapasiti sampah terkumpul iaitu Paya Berenjut, Bukit Mentok, Bukit Mentok Baru, Fikri, Mak Cili, Air Putih dan Mak Lagam.

"Kerja-Kerja pembersihan membabitkan dua kontraktor yang dilantik dengan diselia oleh 13 pegawai kesihatan MPK, dan dengan anggaran 3,000 buah rumah yang terbabit, kita menganggarkan setiap rumah mengumpul kira-kira 1.5 tan sampah pukal," katanya  di pejabatnya, di Chukai, semalam.
\

Menyifatkan banjir itu sebagai yang terburuk sejak 1971, Mustafar berharap penduduk dapat bersabar kerana kekurangan tenaga kerja dan jumlah jentera yang terhad menyebabkan operasi pembersihan agak perlahan selepas tiga kenderaan milik MPK turut ditenggelami air.

Beliau berkata, pihaknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa tempatan Dungun dan Kuala Terengganu malah skuad sukarela Jabatan Pengangkutan Jalan juga akan turun menghulurkan pertolongan.

Katanya, usaha mengembalikan kebersihan di daerah itu adalah cabaran besar kerana bergantung sepenuhnya kepada MPK berbanding tindakan membantu mangsa banjir yang disertai banyak pihak. 

Mustafar berkata, banjir teruk akibat curahan hujan lebat luar biasa selama tiga hari bermula 2 Disember lalu turut menyebabkan kira-kira 1,000 kereta rosak selepas ditenggelami air.

“Selain itu, 300 daripada 550 kakitangan MPK turut menjadi mangsa apabila rumah mereka dinaiki air sedalam hampir 2 meter,” katanya.

No comments:

Post a Comment