Wednesday, December 11, 2013

Mara Akan Perluas Program Ulul Albab MRSM

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mewujudkan Program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor tahun depan menjadikannya MRSM keempat menawarkan program itu. 

Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa berkata penambahan program berkenaan diluluskan kira-kira dua minggu lepas bertujuan meningkatkan kecemerlangan pendidikan khususnya berkaitan agama Islam.

Pada masa ini program Ulul Albab yang mengintegrasi pendidikan sains tulen dan aliran agama termasuk tahfiz al-Quran itu ditawar oleh MRSM Kota Putra, Terengganu; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan dan MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang, katanya.

"Permintaan amat menggalakkan (bagi program Ulul Albab) dan kita dapati tahap disiplin pelajar juga amat memberangsangkan kesan daripada program ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Mara Daerah Seluruh Malaysia di Melaka,  Selasa.

Persidangan selama tiga hari sejak semalam itu dihadiri 106 peserta dari seluruh negara bertujuan merangka program-program baharu yang lebih komprehensif seiring dengan keperluan masyarakat.

Annuar berkata pihaknya menerima hampir 7,000 permohonan setiap tahun namun hanya kira-kira 400 tempat disediakan bagi program Ulul Albab di ketiga-tiga MRSM itu.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 400 pelajar bergelar hafiz al-Quran melalui program itu.

No comments:

Post a Comment