Friday, December 6, 2013

Maybank Tawar Penangguhan, Pelepasan Bagi Pelanggan Terjejas Banjir

Maybank akan menawarkan penangguhan enam bulan bagi bayaran ansuran bulanan dan pelepasan daripada caj tertentu mengikut kes kepada pelanggannya di Pahang, Johor dan tempat lain yang terjejas oleh banjir.

Menurut bank itu, penangguhan pembayaran juga diberi kepada pelanggan perbankan perniagaan, perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan pengguna bagi tempoh Disember 2013 hingga Mei 2014.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias berkata penangguhan itu juga meliputi pelepasan caj bagi pelanggan bank berkenaan yang ingin mendapatkan gantian bagi kad ATM, buku cek dan buku pas yang musnah akibat banjir.

"Kami harap penangguhan ini akan mengurangkan kebimbangan mereka tentang komitmen kewangan tambahan yang terpaksa dipikul ketika menghadapi saat-saat sukar ini. Kami bersimpati dengan mereka yang terjejas oleh banjir dan faham mereka juga bimbang tentang perkara lain ketika ini," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi pemegang kad kredit yang terjejas pula, Abdul Farid berkata Maybank juga akan menimbang permintaan mereka bagi mendapatkan pelepasan bagi caj bayaran lewat dan permohonan untuk meningkatkan had kredit masing-masing bagi tempoh ini.

Katanya Etiqa, cawangan insurans kumpulan itu pula telah mengagihkan beg khas dikenali sebagai 'beg panik' kepada penduduk di 13 kampung di Kemaman, Terengganu, untuk melindungi dokumen penting mereka seperti sijil kelahiran, pasport dan polisi insurans ketika banjir.

"Etiqa juga akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan untuk membeli dan mengagihkan barangan keperluan asas seperti makanan dan air kepada mangsa banjir di pusat pemindahan," kata Abdul Farid.

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bencana ini dengan menghubungi hotline 1-300-88-6688 atau mengunjungi cawangan Maybank terdekat di kawasan masing-masing.

No comments:

Post a Comment