Wednesday, December 18, 2013

Mercy Malaysia Bersedia Hadapi Banjir Gelombang Kedua

Mercy Malaysia sudah bersedia menghadapi banjir gelombang kedua dengan memastikan sukarelawannya ditempatkan di kawasan yang dijangka berlaku bencana itu.

Pegawai Operasi Mercy Malaysia Hilda Zamri berkata dalam pada itu misi kemanusiaan membantu mangsa banjir semasa gelombang pertama tetap diteruskan.

"Misi kami bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan bagi mengagihkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan dan juga ubat-ubatan selain menyediakan klinik bergerak," katanya kepada pemberita, di Kemaman, semalam.

Menurutnya misi kemanusiaan itu bermula 5 Dis lepas di Kuantan sebelum bergerak ke daerah ini pada 9 Dis dan melaksanakan kerja mengagih bantuan di kawasan dewan undangan negeri (DUN) yang terjejas. 

Sementara itu, akhbar Sinar Harian bekerjasama dengan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) melaksanakan gotong-royong membersih dan membaik pulih kediaman yang terjejas banjir di Felda Seberang Tayor.

"Tahun ini Sinar Harian melalui misi kemanusiaan akan mengagihkan beg sekolah serta kelengkapan sekolah kepada 300 pelajar di Felda Seberang Tayor, Air Putih dan sekitar Cukai," kata Editor Sinar Harian Edisi Terengganu Wan Normi Hassan.

Beliau ditemui Bernama ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Rendah Kebangsaan Seberang Tayor bersama 17 wartawan Skuad Sinar Harian dari seluruh Terengganu bersama-sama 200 sukarelawan GWGF.

No comments:

Post a Comment