Bagi meningkatkan kecekapan dan pengurusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) semalam dinaik taraf sebagai satu formasi bertaraf briged dalam pasukan PDRM.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dengan pengiktirafan PSP sebagai sebuah briged atau kontinjen, menjadikan PSP dibawah perintah dan kawalan komander PSP sendiri.
"Kami rasa kini sudah tiba masanya untuk PSP diiktiraf sebagai sebuah formasi agar mereka dapat membuat, merancang serta mengatur gerak penugasan secara lebih tersusun.
"Kita juga akan melihat semula kelengkapan yang kita gunakan supaya sesuai dengan zaman sekarang, kita akan menggunakan teknologi baru dalam memberi arahan," katanya pada sidang media sempena Majlis Pengisytiharan Pasukan Simpanan Persekutuan sebagai Formasi Sempena Hari Peringatan Ulang Tahun penubuhan PSP ke-58 di Dungun.
Turut hadir Ketua Polis Terengganu Deputi Komisioner Polis Datuk Jamshah Mustaffa dan Komander PSP Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Hamid Mohd Ali.
Khalid berkata pengiktirafan ini juga turut memberi ruang kepada PSP untuk mengurus sumber kewangan serta kebajikan anggotanya yang kini mempunyai kekuatan sebanyak 2,463 orang pegawai dan anggota.
Pada majlis itu juga, sebanyak 120 orang pegawai dan anggota PSP berjaya menamatkan Kursus Asas PSP siri 1/2013 yang diadakan selama tujuh minggu bermula 19 Okt lalu.
PSP ditubuhkan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan iaitu pada 5 Dis 1955 sebagai sebuah pasukan yang dilatih khas yang untuk menjaga ketenteraman awam daripada sebarang rusuhan dan turut bertindak membantu penugasan kepolisan di Cawangan Tugas Am, Jabatan Siasatan Jenayah dan jabatan lain.
No comments:
Post a Comment