Sunday, December 29, 2013

Penganjuran Himpunan Guling Kerajaan Terus Dikecam



50 pemuda daripada beberapa pertubuhan dan persatuan Daerah Setiu membuat tiga lamporan polis di IPD Setiu semalam.
Pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan politik terus mengecam usaha pihak tertentu menganjurkan perhimpunan mengguling kerajaan minggu depan.

Dari Perlis ke Johor hinggalah ke Sabah dan Sarawak, mereka memberi mesej jelas menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pihak di sebalik usaha mencetuskan huru-hara itu di samping mengingatkan rakyat agar tidak terjebak dengan dakyah yang disebarkan.

Di KUALA TERENGGANU, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Daerah Kuala Terengganu menegaskan cubaan mengheret rakyat ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan adalah tindakan yang sangat biadab kerana kerajaan sedia ada telah dipilih mengikut undang-undang dan perlembagaan negara.

"Kita juga khuatir perhimpunan itu bakal merosakkan belia negara, dan Pekida menyokong tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa kelak," kata Pengerusinya, Ahmad Syukri Abdullah kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu, Belia 4B, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta Majlis Belia Felda Hulu Terengganu turut membuat laporan polis membantah perhimpunan itu

Di KANGAR, Puteri Umno Perlis merayu generasi muda untuk tidak bersekongkol dengan kumpulan yang berniat merosakkan masa depan negara melalui perhimpunan 31 Dis itu. "Perhimpunan itu memudaratkan rakyat dan boleh membawa kerugian dan kerosakan harta benda," kata Ketuanya, Zuraidah Zainal Abidin sambil memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis di sini sebagai membantah perhimpunan itu.

Di BERA, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Daerah Bera Chong Nyee Lai berkata rancangan perhimpunan itu dilihat tidak relevan langsung, sebaliknya lebih bertujuan menimbulkan huru-hara. "Rakyat perlu beri sokongan kepada kerajaan yang ada kerana sudah banyak dilakukan kerajaan untuk membela nasib rakyat ketika ini," katanya.

Lebih 200 orang berkumpul secara aman bagi membantah perhimpunan yang dirancang itu, antaranya anggota Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Bera, Persatuan Ketua Kampung Daerah Bera, Majlis Belia Felda Wilayah Mempaga, Persatuan Bekas Veteran Tentera Bera, Persatuan Bekas Polis, Persatuan Warisan Anak Pahang, Persatuan Belia Kerayong dan Pertubuhan Peladang Bera.

Di KUANTAN, jurucakap Umno Bahagian Paya Besar dan Kuantan, Zaiton Mat berkata kerajaan tidak perlu lagi berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan huru-hara dan menyifatkan perhimpunan itu sebagai satu penghinaan kepada sistem demokrasi berperlembagaan. Menurutnya laporan polis yang dibuat hari ini di IPD Kuantan antara lain menggesa pihak polis bertindak awal menahan individu yang terbabit merencana perhimpunan itu.

Di PENDANG, kebimbangan serupa dinyatakan Pemuda dan Puteri Umno Pendang, dengan Ketua Pemuda bahagian itu, Mohamad Fadzil Zolkipli menegaskan ada alternatif lain untuk sesiapa sahaja menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan tanpa perlu menimbulkan kekacauan.

Di TAWAU, Ketua Polis Daerah itu ACP Awang Besar Dullah berkata tujuh laporan polis membantah perhimpunan guling kerajaan telah diterima pihaknya, yang terbaru daripada Puteri Umno Tawau diketuai pemimpinnya, Nazliah Ali.

Di IPOH, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi, wakil sekumpulan empat NGO dan Pemuda Umno Ipoh Barat yang membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, menyifatkan perhimpunan itu sebagai satu bentuk pemberontakan yang perlu dihalang demi majoriti rakyat yang cintakan keamanan. NGO berkenaan ialah Kesatuan Anak Muda Islam, Suara Anak Muda 1Malaysia, Gerakan Belia 4B dan Gabungan Kelab Kereta Negeri Perak.

Di KUCHING, Pengerusi Pertubuhan Peradaban dan Warisan Melayu Sarawak (Adab) Shariff Busrah mendakwa mempunyai maklumat berhubung cubaan menjadikan Sarawak lokasi pertama untuk melancarkan perhimpunan menggulingkan kerajaan.

"Yang saya khuatiri agenda menggulingkan kerajaan ini dibuat di Sarawak (terlebih) dahulu sebelum (Himpunan Guling Kerajaan) dibuat di Semenanjung pada 31 haribulan," katanya kepada media selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Di SHAH ALAM, Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Anak Polis Malaysia (PKAPM) Syed Abu Bakar Syed Ahmad berkata penganjur perhimpunan itu perlu sedar anggota polis juga perlu menyediakan keperluan persekolahan anak-anak tanpa perlu berdepan kemungkinan cuti dibekukan untuk menangani perhimpunan tersebut.

Beliau ditemui media selepas menyertai Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan 'Community Policing Malaysia' membuat laporan polis di IPD Shah Alam.

Di GOMBAK, Pemuda Umno Gombak menyertai NGO seperti Belia 4B Gombak, Majlis Belia Daerah Gombak, Persatuan Belia Kg Sri Gombak Indah, Persegi Malaysia Gombak, Pertubuhan Generasi Setia Gombak dan MAYC turut membuat laporan polis berhubung perhimpunan haram itu.

Ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan, Aidi Haris Anual berkata pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap peserta, penganjur perhimpunan serta penulis blog dan laman sosial yang cuba mempromosikan perhimpunan itu.

Di MUAR, Ketua Pemuda Umno Bahagian Bakri, Azman Ismail menegaskan selain mengancam keselamatan negara, perhimpunan itu merupakan "satu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan" jika diteruskan.

Ketua Pemuda Umno Muar, Sallehudin Satar pula menggesa kerajaan menentukan perhimpunan yang dirancang berlangsung serentak dengan sambutan ambang 2014 itu dibatalkan.

"Jika tidak, ia akan hanya memalukan negara yang selama ini dikenali sebagai sebuah negara yang aman dan makmur," katanya ketika ditemui selepas kedua-dua pergerakan bahagian itu mengadakan perhimpunan aman di pekarangan IPD Muar selepas membuat laporan polis berhubung perhimpunan terbabit.

No comments:

Post a Comment