Rancangan menganjurkan perhimpunan haram pada 31 Dis ini hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat kepada beberapa pembohongan yang pembangkang tabur setelah gagal menawan Putrajaya 5 Mei lalu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau tidak menolak orang yang sama dengan penganjuran perhimpunan Black 505 dan Bersih sebelum ini turut terbabit dalam rancangan perhimpunan itu.
"Rakyat tidak tertipu lagi, hanya untuk memenuhi nafsu mereka yang ingin berkuasa di negara ini dan mereka cuba memadamkan dosa mereka menipu rakyat dengan mencari isu lain pula seperti kenaikan harga barang dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian dividen projek ternakan ayam program Azam Tani di Kemaman, kelmrin.
Beliau berkata daripada mengajak rakyat berhimpun adalah lebih baik penganjur mengajak golongan itu pergi membantu mangsa banjir dan bencana alam di negara ini.
Telah banyak pembohongan yang ditabur kepada rakyat oleh pihak pembangkang semata-mata untuk membangkitkan kemarahan mereka kepada kerajaan sedia ada, katanya.
Sebelum ini, kata Ahmad Shabery, rakyat dibohongi tentang isu kononnya ada 40,000 pengundi Bangladesh ketika pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan banyak yang percaya sehingga turut menyertai perhimpunan.
"Ramai rasa tertipu bila yang kata tak iktiraf pilihan raya, mereka sendiri angkat sumpah dan mereka gagal bawa sebarang bukti kononnya ada rakyat Bangladesh yang mengundi," katanya.
Beliau berkata pihak terbabit seharusnya menghentikan pembohongan kepada rakyat negara ini dan mereka juga perlu sedar dunia pun sudah jemu dengan pembohongan pembangkang di negara ini.
"Sekarang ini mereka nak tarik perhatian dunia, rasanya dunia pun ada had dari segi kesabaran mereka, berapa kali mereka nak tipu dunia, saya mintak mereka menjelaskan isu Black 505, kononnya PRU dulu tidak sah, dibuat secara penipuan, dimenangi dengan import orang luar, cuba buktikan," cabar beliau.
No comments:
Post a Comment