Sunday, December 29, 2013

Sumbang Al-Quran, Yasin Baharu Ke Seluruh Kemaman

Khairul Azwan (kanan) menyusun beras dan bekalan makanan ke dalam pacuan empat roda untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Mak Lagam. 

Pemuda Umno akan menggantikan naskhah Al-Quran dan Yasin baharu untuk masjid dan surau di daerah ini yang terjejas teruk akibat banjir terutama bagi kawasan Dun Air Putih dan Dun Chukai.
Naib ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat mengenai
bilangan masjid dan surau yang terjejas teruk terutama di dua kawasan terbabit. Menurutnya, sumbangan itu akan disalurkan segera setelah semua urusan selesai.

“Kita juga akan menyampaikan bantuan pakaian sekolah kepada mangsa banjir khususnya yang mengalami kerugian besar dan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bergotong-royong membersihkan Kompleks Rakan Muda Kemaman di Mak Lagam yang rosak teruk ditenggelami banjir.

Turut serta, Pemuda Umno Terengganu, Pemuda Umno Bahagian Kemaman diketuai Ahmad Fikry Ibrahim dan sukarelawan Kesatria Muda Pemuda Umno.

Selepas acara gotong-royong, mereka kemudiannya melawat dari rumah ke rumah dan menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada mangsa banjir seluruh Kemaman termasuk Kampung Mak Lagam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kejadian banjir lalu menyebabkan lantai papan di dewan serba guna kompleks berkenaan serta beberapa kemudahan lain rosak.

“Saya sudah mengambil gambar dan akan menghantar laporan kepada Menteri Belia dan Sukan supaya (kemudahan yang rosak) dapat kita pulihkan terutama di bahagian dalam dewan serba guna serta pejabat belia. “Tambahan pula, ia menjadi tempat tumpuan dan rujukan gerak kerja aktiviti belia di Bahagian Kemaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, sukarelawan Kesatria Muda Pergerakan Pemuda Umno dan NGO di daerah ini akan meneruskan usaha membersihkan kawasan terutama pusat riadah serta tempat awam seperti surau, masjid dan dewan orang ramai agar kemudahan itu dapat digunakan orang ramai semula. 

Menurutnya lagi, pihaknya turut menyediakan seramai 200 sukarelawan Kesatria Muda dan sukarelawan dari persatuan serta kelab di daerah ini sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir.

SH Online

No comments:

Post a Comment