Sunday, December 22, 2013

Tiong Lai Ikrar Bawa Imej Baru Kepada MCA


Presiden MCA yang baru dipilih Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau berikar akan menjadi pemimpin yang akan membawa imej parti itu ke arah fasa baru lebih cemerlang.

"Kita harus memastikan semua pemimpin dan anggota bekerjasama sebagai satu pasukan yang kuat, tanpa rasa dendam dan iri hati, bagi menjayakan program transformasi parti.

"Sebagai parti yang kuat, sudah pasti MCA akan mengembalikan era kegemilangan seterusnya meraih sokongan dan kepercayaan masyarakat khususnya kaum Cina," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang jawatan tertinggi parti itu di Kuala Lumpur, semalam.

Tiong Lai yang memperoleh 1,186 undi mengatasi bekas naib presiden MCA Gan Ping Sieu (1,000 undi) dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat (160 undi) dalam pertandingan tiga penjuru, turut berterima kasih kepada para perwakilan yang telah memilihnya.

Menyentuh mengenai langkah bagi membatalkan resolusi parti untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kabinet, katanya perkara itu akan dibincang pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat parti itu.

"Namun, perlembagaan parti akan digubal terlebih dahulu sebelum membenarkan keputusan itu dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA yang baharu Datuk Wee Ka Siong pula berhasrat untuk menarik lebih ramai golongan belia menyertai parti bagi merealisasikan satu daripada transformasi iaitu meremajakan parti.

Ka Siong turut melahirkan penghargaan kepada pesaingnya iaitu bekas Naib Presiden Datuk Donald Lim Siang Chai kerana telah berusaha keras dalam jawatankuasa lama sebelum pemilihan parti.

"Syukur kerana sepanjang kempen kami berdua tidak pernah bertelingkah dan melontar tomahan antara satu sama lain. Saya sangat menghormati Lim sebagai seorang veteran parti dan akan mendapatkan tunjuk ajar daripada beliau," katanya.

Dua daripada empat naib presiden, Datuk Chua Tee Yong and Datin Paduka Chew Mei Fun pula berikrar akan bekerjasama untuk menyegarkan semula parti untuk keluar daripada kesukaran dan menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan penuh keyakinan.

Sementara itu, Gan Ping Sieu, seorang daripada dua calon presiden yang tewas, berkata beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka, serta menekankan semua anggota kini perlu memberi komitmen sepenuhnya bagi mengembalikan semula kecemerlangan parti itu.

No comments:

Post a Comment