Tuesday, January 14, 2014

Ahmad Said Perlu Berdaubat, Dakwa Banjir Kerana Rakyat Pilih Pakatan?


“Hari ini juga ramai orang datang berjumpa dengan saya, memberitahu bahawa ucapan MB Terengganu sangat menyeleweng. Saya berasa sangat berdukacita dan kesal dengan ucapan ini dan saya mohon supaya MB bertaubat kepada Allah serta jangan angkuh dan sombong..."
- ADUN Chukai,  Hanafiah Mat 

Benarkah Menteri Besar Terengganu ada menyebut ‘kerana pembangkang menanglah di Kemaman ini maka banjir besar berlaku’?

Jika tidak benar,  Datuk Seri Ahmad Said sewajarnya bukan sahaja menafikan malah mengambil tindakan keras terhadap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chukai Hanafiah Mat kerana memfitnah beliau.

Bukan  sekadar itu sahaja, Hanafiah turut menyifatkan 'Menteri Besar menyeleweng daripada ajaran Islam."

Tuduhan ini amat berat apa lagi Ahmad Said turut diminta bertaubat kerana seolah-olah beliau tidak percaya bala banjir diturunkan Allah.

Hanafiah semalam meminta Ahmad Said bertaubat kerana mengeluarkan 'ucapan angkuh' di majlis penyampaian bantuan banjir oleh Perdana Menteri kelmarin.

Dakwanya, dalam ucapannya Menteri Besar  berkata, "Kerana BN kalah kepada pembangkanglah di DUN Chukai, Kemaman dapat bala banjir”

Laman Yahoo yang memetik FMT dan laman rasmi PAS Terengganu memetik Hanafiah turut bertanya kenapa ketika PAS menang tiga kerusi (Air Putih, Chukai dan Kijal) dan Parlimen Kemaman (PKR) pada tahun 1999, Kemaman tidak banjir?


ADUN Chukai itu kesal dengan ucapan Menteri Besar itu yang disifatkannya sangat menyeleweng sebagai seorang Islam.

Beliau menyarankan Ahmad Said bertaubat kerana menurutnya, ucapan yang sombong dan angkuh seperti itu bukan sahaja mengelirukan bahkan bolehmenyebabkan gugurnya ‘syahadh’ seseorang.

“Hari ini juga ramai orang datang berjumpa dengan saya, memberitahu bahawa ucapan Menteri Besar Terengganu sangat menyeleweng.

“Saya berasa sangat berdukacita dan kesal dengan ucapan ini dan saya mohon supaya Menteri Besar bertaubat kepada Allah serta jangan angkuh dan sombong kerana Menteri Besar berkata ‘kerana pembangkang menanglah di Kemaman ini maka banjir besar berlaku’,”jelasnya.

Hanafiah yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Kemaman menggesa Ahmad Said merujuk kepada ayat al-Quran dalam surah as-Saba dalam ayat 15 dan 16 yang menyatakan jelas kepada banjir ini datang daripada Allah, apabila manusia sudah lupa dan lalai kepada Allah.

Katanya, dalam surah Nuh juga, Allah menceritakan bahawa apabila manusia melakukan kejahatan lalu Allah datangkan musibah supaya manusia itu sedar dan beriman kepada Allah.

“Jelas ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah menyatakan bahawa banjir ini adalah datang daripada Allah. Bukan kerana PAS menang ataupun bukan parti-parti lain ataupun perkara-perkara lain yang boleh menyebabkan banjir.

“ Ini saya rasa satu kenyataan yang sangat mendukcitakan sama ada kepada umat Islam di Terengganu ataupun di seluruh Malaysia,”tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Hanafiah meminta Ahmad Said bertaubat kerana seolah-olah beliau tidak percaya bala banjir diturunkan Allah.

Kemaman dilanda banjir besar baru-baru ini di mana 80 peratus daripada buminya ditenggelami air. Ia disifatkan sebagai kejadian pertama dalam sejarah daerah itu.

Manakala ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, meminta kerajaan mengisytiharkan darurat di daerah itu bagi membolehkan kerja-kerja bantuan dibuat namun ditolak oleh kerajaan.


PAS dan unit-unit di bawahnya telah memberikan bantuan penuh kepada mangsa banjir ketika pemimpin Umno sibuk dengan Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan bantuan kepada 19,205 mangsa banjir di negeri ini yang disifatkan sebagai bantuan luar biasa di majlis yang berlangsung di Padang Astaka di Kemaman.

Bantuan banjir ini mencatatkan sejarah apabila produk berupa televisyen, peti sejuk, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5,000 disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa banjir di Terengganu.

Antara produk yang diterima mereka adalah peti sejuk yang disumbangkan Umno, televisyen sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta bantal dan tilam sumbangan Kelab Putera 1Malaysia.

Selain itu, kesemua 19,205 keluarga yang terlibat dengan banjir di Terengganu turut menerima bantuan wang tunai RM500 daripada kerajaan pusat dan RM1,500 daripada kerajaan negeri.

Najib seterusnya melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai sehingga mencecah hampir 20,000 orang pada majlis itu dalam keadaan cuaca mendung dan hujan renyai.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.


Mengulas majlis penyampaian tersebut, Hanafiah berkata ramai penerima kecewa kerana terlalu lama beratur untuk mengambil kupon sampai ke petang sehingga mereka tidak dapat menghantar anak mereka ke sekolah dan terpaksa ponteng kerja.

“Malah yang lebih mengecewakan mereka pada bulan April, tiga bulan dari sekarang baru mereka dapat menunaikan kupon itu untuk mengambil peti ais, televisyen dan tilam yang dijanjikan itu,” kata mereka.

Beliau berkata kalau dah tahu bulan April baru dapat ambil barang tersebut, kenapa buat majlis sekarang. “Buatlah pada bulan Mac, sekurang-kurangnya tidak lama mereka menunggu barang yang dijanjikan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, pada masa yang sama Hanafiah mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke daerah Kemaman.

Beliau mengucapkan terima kasih bagi pihak rakyat DUN Chukai dan yakin pemberian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir oleh Najib adalah hasil duit rakyat, bukannya wang Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Bagi pihak saya dan seluruh rakyat Kemaman, yang pertamamnya, mengucapkan terima kasih kerana Perdana Menteri bersedia menyampaikan bantuan, “yang mana bantuan ini saya yakin ianya daripada pembayar-pembayar cukai dan juga penderma-penderma daripada kerajaan dan kerajaan memberi balik kepada rakyat yang mengalami musibah di Kemaman,”ujarnya kelmarin.


No comments:

Post a Comment