Thursday, January 30, 2014

Dr Mahathir Nafi Di Belakang Usaha Jatuhkan Najib


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau di belakang usaha menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seperti didakwa Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, tindakan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Kajang bagi mengekang kemaraan BN di Selangor jika perdana menteri sekarang dijatuhkan oleh kuasa dalaman Umno.

Dakwa Rafizi, gerakan menjatuhkan Najib sudah menjadi rahsia umum, yang digerakkan "kem Mahathir" dalam Umno.

"Itu tafsiran dia (Rafizi). Sebenarnya usaha nak jatuhkan kerajaan sedia ada bermula daripada masa saya jadi PM pun. "Memanglah parti lawan tugas lain tak ada melainkan jatuhkan pemerintah, untuk jadi pemerintah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual menerusi program "Dalam Radar Khas" terbitan Bernama Radio24, di ibu negara petang`semalam.

Mengenai Anwar bertanding pilihan raya kecil Kajang untuk menunjukkan kebolehan, seterusnya meyakinkan rakyat yang beliau boleh menjadi perdana menteri, kata bekas perdana menteri: "Yalah dia memang hendak jadi ketua kerajaan.

"Tak boleh yang besar, yang kecil sedikit pun bolehlah untuk menunjukkan kebolehan dengan harapan rakyat akan menghargai dan akan memberi kejayaan untuk cita-citanya menjadi perdana menteri.

"Cita-cita yang terbesar bagi Anwar ialah menjadi perdana menteri. "Soal apa yang jadi lepas jadi perdana menteri tak penting, (yang penting) jadi perdana menteri," kata Dr Mahathir ketika ditemubual menerusi program "Dalam Radar Khas" terbitan Bernama Radio24.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media kemudiannya, Dr Mahathir berkata beliau yakin Anwar tetap mahu menjadi perdana menteri.

Menurut Dr Mahahir, jawatan menyeri besar Selangor yang diintai Anwar seperti diperkatakan banyak pihak bukanlah matlamat sebenar Anwar jika beliau memenangi pilihan raya kecil di Kajang nanti. "Satu langkah (dia) nak naik ke ataslah. Itu (jadi menteri besar) bukan matlamat dia," katanya.

Ditanya tentang perasaannya terhadap gerakan politik terbaru bekas timbalannya itu, Mahathir berkata beliau "tidak seronok" tetapi Anwar berhak berbuat demikian.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandang, Lee Chin Chen dari PKR meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bagi memberi laluan kepada Anwar bagi bertanding di kerusi tersebut.

Anwar semalam disahkan akan bertanding kerusi itu sebagai "langkah taktikal" menguasai Putrajaya.

No comments:

Post a Comment