Monday, January 27, 2014
Jambatan Bukit Kuang Siap Ogos Depan - Menteri
Pembinaan jambatan Bukit Kuang di sini siap 84.8 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Ogos ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.
Beliau yang berpuas hati dengan kemajuan projek berkenaan berkata jambatan itu akan menjadi mercu tanda baharu di Terengganu khususnya di Kemaman.
"Sebelum ini kesesakan lalu lintas dari Chukai ke Kawasan Perindustrian Teluk Kalong sangat kritikal terutama pada waktu puncak apabila pengguna jalan raya terpaksa mengambil masa sehingga 45 minit untuk menyeberangi jambatan, namun apabila siap kelak perjalanan hanya mengambil masa lima minit.
"Ini adalah satu lagi kemudahan infrastruktur baharu untuk rakyat terutama bagi sektor pengangkutan di pantai timur yang akan membawa pelbagai manfaat untuk limpahan ekonomi, pelancongan dan pelbagai bidang lain," katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan jambatan itu semalam.
Beliau turut mendengar taklimat yang disampaikan Pengurus Besar Kanan Pembinaan, Pasukan Projek Wilayah Pembangunan Pantai Timur, Jabatan Kerja Raya Datuk Noor Azeman Yusoff.
Projek yang bernilai RM225.725 juta itu akan turut dilengkapi laluan bertingkat dari Teluk Kalong ke Chukai serta dibina 18 meter dari aras sungai untuk menyediakan laluan kapal di bawahnya.
Ia merupakan projek menaik taraf jalan sedia ada kepada laluan empat lorong dua hala selebar 3.07 meter termasuk jambatan sepanjang 970 meter dengan kos asal projek bernilai RM190.725 juta.
Peningkatan kos sebanyak RM35 juta adalah bagi menampung pembinaan skop tambahan laluan terus Chukai ke Teluk Kalong.
Jambatan bahagian barat iaitu dari Chukai ke Kuala Terengganu mula dibuka pada 31 Julai tahun lalu manakala jambatan bahagian timur dibuka kepada laluan mulai 13 Nov tahun lalu.
No comments:
Post a Comment