Monday, January 6, 2014

Kontrak Guru KAFA - YIT Ada Skop, Peraturan Kerja Untuk Dipatuhi...


“Kita tidak sambung kontrak perkhidmatan kepada mana-mana guru KAFA yang didapati gagal mematuhi prosedur, arahan kerja dan melanggar disiplin, tidak kira penyokong UMNO ke, PAS ke, PKR ke...mereka yang tidak disambung itu gagal mematuhi skop dan prosedur kerja yang ditetapkan.”
- Pengarah YIT, Mohd Kamarul Amin Ismail

KUALA TERENGGANU (6 Januari 2014) - Dalam mana-mana organisasi sekali pun, peraturan perlu dipatuhi oleh ahli-ahinya. Begitu juga dalam soal pekerjaan.

Majikan akan menentukan syarat dan hala tuju syarikat berkenaan dan pekerja perlu mematuhinya. 

Sekiranya enggan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan seseorang tidak perlu memohon pekerjaan berkenaan atau yang memohon perlu meletak jawatan atau tanggung risiko akan dibuang atau tidak diperbaharui kontrak.

Jika mahu mohon juga, syarat dan peraturan perlu dipatuhi dan tidak beretika sama sekali jika seseorang cuba memperlekeh dan tidak mempedulikannya.

Dalam mana-mana syarikat atau organisai, seseorang pekerja tidak boleh ‘melawan’ atau ‘ingkar’ kepada majikannya, apalagi kakitangan kontrak.

Pada Jumaat (3 Januari 2014), Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) bagai mencabar Yayasan Islam Terengganu (YIT) apabila mengatakan pihaknya memandang serius isu melibatkan sejumlah guru-guru KAFA yang dilaporkan ditamatkan kontrak.

Mereka menuduh YIK menamatkan kontrak mereka itu sebagai tanpa alasan kukuh. Sedangkan YIT ada Pegawai Penyelia yang membuat seliaan ke atas tugas-tugas guru berkenaan setelah dilantik setiap tahun, jadi semua perjalanan kerja, disiplin dan pematuhan tugas setiap guru ada dalam rekod.

Rekod itu YIT semak dari masa ke semasa, terutama di penghujung tahun untuk menentukan semula kelayakan mereka sama ada layak atau tidak disambung tugas untuk tahun seterusnya.

Guru KAFA biasanya mengajar di sebelah petang di beberapa buah sekolah rendah di negeri ini, manakala Guru Khidmat Masyarakat yang mengajar di kelas-kelas persendirian, di surau, masjid dan sebagainya, termasuk yang mengajar agama, ceramah agama dan kelas-kelas berzanji.

Guru KAFA dengan bayaran elaun sebanyak RM800 berdasarkan tugas mengajar selama 3 jam sehari, 9 jam seminggu dan 36 jam sebulan.

Setiap tahun RM35 juta dibelanjakan untuk membayar elaun mereka, suatu jumlah yang agak besardan YIT mendapat peruntukkan daripada  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia- JAKIM.

Dulu sebelum JAKIM membiayainya, Kerajaan Negeri Terengganu tanggung sepenuhnya yang dinamakan Kelas Agama Petang.

Kelas seumpama ini telah lama diwujudkan. Sebelum ini kebanyakan kelas-kelas berjalan secara sukarela, dan kerana YIT dan kerajaan negeri peka kepada kepentingan agama dan rakyat, langkah membayar elaun diadakan. DPPNT nampaknya memainkan perkataan kontrak dengan mengatakan menamatkan kontrak bukan memperbaharui mereka yang sudah tamat kontrak, atau menyambung semula kontrak yang sudah tamat. DPPNT nampaknya memulakan kenyataan yang sudah jauh tersasar.


Ketua DPPNT Kamaruzzaman Abdulah berkata, satu pertemuan akan diadakan diantara DPPNT dengan Pengarah Yayasan Islam Terengganu hari ini  6 Januari 2014 bagi mendapatkan penjelasan.

“Sepucuk surat segera bertarikh 2 Disember, telah dihantar kepada Pengarah Yayasan Islam Terengganu bagi memaklumkan perkara tersebut: “(perbincangan) mengenai Surat YIT yang menyebut Notis Tidak Sambung Perkhidmatan Sebagai Guru KAFA Yayasan Islam Terengganu.”

Kamaruzzaman mengatakan DPPNT amat prihatin di atas permasalahan dan kesulitan yang dihadapi oleh para guru KAFA terlibat dan menuntut penjelasan sewajarnya diatas tindakan yang dilakukan oleh pihak YIT dan menyelesaikannya dengan cara yang terbaik.

“DPPNT menegaskan agar YIT yang merupakan antara badan agama terbesar di Terengganu mestilah memastikan keadilan sewajarnya kepada para guru KAFA dengan menarik balik penamatan dan pemecatan guru-guru KAFA tersebut,”katanya.

Tidak dapat dipastikan sama ada pertemuan itu berlangsung atau sebaliknya.

Apapun alasannya ‘pecat’ atau ‘tamat’ tidak sesuai digunakan kerana penjelasan baru-baru ini menyebut, konrtak guru-guru KAFA berkenaan tidak diperbaharui.


Memetik JAWAPAN KEPADA PESURUHJAYA PAS TERENGGANU dalam isu guru KAFA ini, berikut adalah faktanya: Yang pasti, mereka bukan dipecat, tetapi ‘tidak disambung kontrak’.

Ia memberi makna yang berbeza. Kenapa guru KAFA tidak disambung kontrak?

1. Tidak menunjukkan akhlak yang baik seperti menabur fitnah. Ada guru KAFA menyebar cerita kononnya MB Terengganu ditangkap khalwat di Hotel Hilton, KL.

2. Ada guru KAFA berbalah dengan anak murid apabila bertegas dengan kenyataan bahawa Perdana Menteri membunuh Altantuya.

3. Guru KAFA tidak menjalankan tugas dengan jujur apabila menghasut orang ramai membenci kepimpinan Menteri Besar Terengganu.

4. Ada guru KAFA menyertai perhimpunan haram Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur.

5. Malah, ada kes guru KAFAA ponteng tugas dengan menghadiri perhimpunan haram di Kuala Lumpur.

6. Ada guru KAFA yang bertumbuk dengan Ahli Jawatankuasa JKKK di sebuah kampung di Dungun.

7. Ada guru KAFA menunjukkan perangai yang boleh merosakkan imej pendidikan di Terengganu seperti memberi kefahaman yang salah. Contohnya isu kalimah Allah dan Kerajaan Kafir.

8. Ada guru KAFA yang tinggalkan tanggungjawab dan menyertai program parti politik Pakatan Rakyat selama 3 minggu di luar Terengganu.

9. Ada guru KAFA yang menerima elaun daripada Kerajaan tetapi menjalankan tugas di Pejabat PAS Kawasan. Kes ini berlaku di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang dan Dungun.

10. Ada guru KAFA menunjukkan akhlak yang buruk kepada masyarakat. Contoh kes, mencuri sejadah masjid dan membuat kutipan derma di masjid tanpa pengetahuan Jawatankuasa Masjid. Derma itu digunakan untuk membiayai program penerangan PAS.

11. Ada guru KAFA menjadi ‘agen’ parti PAS apabila secara terang mengedar risalah kempen PAS, manifesto PAS Terengganu PRU 13 dan CD ceramah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng pada PRU 13.

12. Ada guru KAFA tidak memberi komitmen yang baik terhadap tugas apabila tidak hadir ke majlis atau perjumpaan anjuran YIT dan Kerajaan Negeri.

13. Ada guru KAFA sudah hilang komitmen dengan tugas apabila sibuk dengan perniagaan dan aktiviti pertanian.

14. Ada guru KAFA berlakuan tidak sopan apabila ugut untuk buang kakitangan kontrak YIT yang menegur masakah disiplin apabila PAS memerintah Terengganu selepas PRU 13.

15. Ada guru KAFA yang rela dipecat, asalkan dapat ‘berjuang’ bersama PAS. (SMS guru KAFA kepada kakitangan YIT).

Ini hanyalah sebahagian sahaja.

Menurut jawapan itu, profil individu terbabit tidak tidak akan dedahkan kerana mahu menjaga air muka dan aib keluarga bekas guru Kafa terbabit.

Persoalan di sini ialah kenapa mereka ini menggunakan saluran politik untuk membantu menyelesaikan masalah mereka?

Kenapa antara mereka tidak berpakat atau melantik jawataankuasa sementara dengan diwakili seorang ketua untuk berjumpa YIK memperjuangkan nasib mereka?

Sedangkan dalam soal pelantikan , penamatan atau pnyambungan sebarang kontrak, peraturan YIT adalah berdasarkan prosedur kerja dan peraturan serta disiplin yang dibuat untuk memastikan mereka menjalankan tugas dengan amanah dan tidak membazirkan wang peruntukkan yang digunakan untuk membayar elaun mereka.

Namun bagi sesetengah mereka yang tidak disambung kontrak, mereka memilih penyelesaikan politik sedangkan YIK adalah sebuah badan kerajaan - walaupun kerajaan negeri diperintah oleh Barisan Nasional – namun adalah lebih sesuai dan ‘beradab’ jika melihat masalah ini dari sudut pentadbiran bukan politik kepartian.

Di pihak jabatan pula, ia melakukan proses pemutihan dalam jabatan kerajaan dan menjadi perkara biasa yang dilakukan setiap tahun.

Ia dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri dan jabatan mempunyai kuasa untuk melantik, melantik semua atau tidak memperbaharui kontrak seseorang kakitangan.

PAS sendiri ketika memerintah Terengganu antara 1999 dan 2004 turut melakukan proses yang seakan sama, antaranya:

1. Menamatkan kontrak lebih 100 kakitangan Unit Perpaduan Ummah (UPU);

2. Memecat dan menamatkan kontrak lebih 200 imam dan bilal;

3. Memecat ketua-ketua kampung, JKKK dan tubuh JSR dikalangan penyokong PAS;

4. Menghentikan bantuan 1,500 keluarga fakir dan miskin serta,

5. Memecat pegawai tinggi kerajaan seperti Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Ketua Pegawai Eksekutif TATI.

Itu sebahagian contoh.

Dalam menimbulkan perkara ini, pemimpin PAS yang ‘memperjuangan nasib guru KAFA yang tidak disambung kontrak itu’ mungkin sudah lupa apa yang pernah kerajaan PAS lakukan sebelum ini.

Mereka perlu menghormati ‘keutamaan’ jabatan-jabatan yang ada di bawah kerajaan negeri bagi memperkemas, melicin dan menentukan hala tuju baru.

Secara kebetulan pemutihan dilakukan bagi menjamin guru KAFA di negeri ini sealiran dengan hasrat dan matlamat kerajaan negeri bagi meluruskan perjalanan pentadbiran YIT.

Bagi yang tidak diperbaharui kontrak, mereka sewajarnya sedar dan insaf serta menyalahkaan diri sendiri. Mereka gagal memanfaatkan peluang yang ada selain memilih untuk tidak bersama dengan kerajaan negeri menjayakan cita-cita dan perancangan memajukan anak-anak negeri dalam meningkatkan pendidikan dan syiar Islam di kalangan pelajar dan remaja di negeri ini.

Bak kata Pengarah YIT, Mohd Kamarul Amin Ismail: “Kita tidak sambung kontrak perkhidmatan kepada mana-mana guru KAFA yang didapati gagal mematuhi prosedur, arahan kerja dan melanggar disiplin, tidak kira penyokong UMNO ke, PAS ke, PKR ke, persoalannya mereka yang tidak disambung itu gagal mematuhi skop dan prosedur kerja yang ditetapkan.”

Lagipun YIT ada Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu yang bermakna, YIT membuat keputusan secara mesyuarat secara sah, bukan kuasa pengarah dan pegawai sahaja untuk menentukan.

Berikutan itu sebarang tuduhan bahawa keputusan dibuat oleh pegawai tertentu, ikut telunjuk UMNO atau ‘orang-orang terpilih’ sahaja amatlah tidak benar dan tuduhan semata-mata.

Menghairankan, kenapa soal tidak sambung kontrak ini menjadi isu politik sedangkan sebelum ini, perkara sebegini dianggap melibatkan soal pentadbiran semata-mata.

Malah tuduhan YIT dan kerajaan negeri ‘bertindak zalim’ adalah perbuatan mereka yang tidak tahu atau tidak faham skop dan prosedur kerja yang ditetapkan oleh YIT.

Dan mungkin juga pemimpin PAS sengaja menjadikan soal pentadbiran YIT ini untuk keuntungan politik mereka semata-mata tanpa mengetahui bahawa mereka sebenarnya ‘membuka pekong di dada sendiri’!

1 comment: