Sunday, January 26, 2014

Liga Super: JDT, Terengganu, Pahang, Selangor Tumbang, T-Team Tewaskan JDT

Pemain T-Team, Azlan Ismail (kiri) cuba menghalang pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam semalam.
Saingan bola sepak Liga Super malam semalam menyaksikan beberapa kejutan besar di mana pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) tumbang 1-0 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Turut melakar kejutan pasukan berstatus kelab, Sime Darby yang menumpaskan juara Piala Malaysia dan Sumbangsih, Pahang 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selangor pula gagal membawa pulang tiga mata daripada kunjungan ke Stadium Jalan Besar, Singapura apabila tewas 2-1 kepada penyandang juara liga, LionsXII.

Di Stadium Negeri, Kuching, tuan rumah, Sarawak gagal memanfaatkan aksi di tempat sendiri apabila tunduk 0-1 kepada Kelantan.

Perak pula mencatat kemenangan pertama musim ini dengan menumpaskan Terengganu 1-0 di Stadium Perak, Ipoh.

Kelmarin, wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS FC bangkit mencatatkan kemenangan selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 pada aksi tunggal Liga Super Jumaat malam yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu yang kalah 1-2 kepada Terengganu, Sabtu lepas berjaya mengutip tiga mata hasil jaringan tunggal Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-84.

Pemain PKNS, Mohd Aminudin (kanan) diasak oleh ketua pasukan ATM, Rezal Zambery dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan PKNS 1 - 0 ATM dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang pada Jumaat. 
Dalam pada itu, Kedah membuka saingan Liga Perdana 2014 dengan langkah kanan selepas mencatatkan kemenangan selesa 4-1 ke atas jiran mereka, Perlis di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Mereka bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Mohd Farizal Rozali pada minit ke-21 sebelum bangkit dengan menjaringkan empat gol masing-masing menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ke-32, Billy Mehmet (36'(penalti) dan 80') dan Mohd Syazwan Zainon (43').

Pendatang baharu, Pulau Pinang yang muncul juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia, musim lepas turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Sabah 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Bekas penyerang Harimau Muda A, Md Rozaimi Abd Rahman mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol seawal minit ke-10 sebelum Pulau Pinang bangkit dengan tiga gol menerusi Mohamad Zharif Hasna (minit ke-44 dan 63) serta Hilton Mauro Moreira (60').

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan mengalahkan DRB-Hicom FC dengan kemenangan tipis 2-1. Josef Kaplan muncul wira skuad Rusa selepas meledak dua jaringan masing-masing pada minit ke-32 dan 52' sebelum pasukan lawan mengurangkan defisit jaringan menerusi Ogunboye Iyanul Ezekial pada minit ke-56.

Felda United FC pula berkongsi satu mata dengan wakil kelab Pulau Pinang, PBAPP FC selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Nasib berbeza dialami SPA Putrajaya FC dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) selepas kalah kepada lawan masing-masing di halaman sendiri. SPA Putrajaya tewas 0-1 kepada UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil jaringan tunggal Obi Ikechukwu pada minit ke-69. JDT II pula kalah mengejut 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sentuhan penyudah penyerang import dari Sepanyol, Braulio Nobrega Rodriguez pada minit ke-23.

Mereka bagaimanapun beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-36 selepas penjaga gol mereka, K. Sasikumar dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain lawan, Bobby Gonzalez di luar kotak penalti.

Kesempatan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya pasukan lawan kendalian Dollah Salleh yang berjaya menjaringkan tiga gol masing-masing menerusi Mohd Afif Amiruddin pada minit ke-50, Bobby (59') dan Mohd Fadhil Mohd Hashim (62').

No comments:

Post a Comment