Tuesday, January 14, 2014

Penerima BR1M Tidak Perlu Daftar Lagi

Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sedia ada tidak perlu lagi mendaftar utuk memohon skim berkenaan kerana mereka tetap akan menerimanya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, wujud kekeliruan dalam kalangan orang ramai khususnya penerima BR1M sebelumnya bahawa mereka perlu mendaftar lagi untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Katanya, penerima sebelum ini tidak perlu lagi memohon, sebaliknya hanya memberikan nombor akaun masing-masing kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memudahkan urusan pemberian bantuan menerusi akaun bank.



"Ramai yang bertanya kepada saya mengenai perkara ini. Saya tegaskan sekali lagi bahawa pemohon sebelum ini yang telah menerima BR1M tidak perlu lagi mendaftar untuk bantuan itu.

Mereka akan menerimanya, cuma bagi mana-mana yang masih belum memberikan nombor akaun kepada LHDN, sila lakukannya segera sebelum 31 Januari ini bagi membolehkan pembayaran dibuat.

"Selain itu, kali ini kami mengambil pendekatan pembayaran BR1M menggunakan bank kerana berpendapat langkah ini lebih efisien berbanding kita buat majlis dan meminta rakyat beratur menunggu.

Kita kena hormat rakyat, takkan kita mahu rakyat beratur tengah-tengah hujan, panas seperti di negara dunia kedua," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan program Perjumpaan Khas Bersama Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua Cawangan UMNO Bahagian Tambun di Ipoh, kelmarin.

Sementara itu penerima BR1M  sedia ada serta yang baru memohon, akan menerima bantuan itu secara pembayaran tunai melalui pejabat daerah masing-masing, jika diisytihar muflis.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata berikutan langkah terbaru kerajaan yang memperkenal sistem pembayaran BR1M 3.0 melalui bank, ramai penerima yang diisytihar muflis tertanya-tanya status bantuan kepada mereka.

"Mereka ini muflis atas sebab yang pelbagai, termasuk menjadi penjamin pinjaman saudara mara dan rakan-rakan, menyebabkan akaun bank sedia ada dibekukan dan kerajaan sedar dengan kesulitan yang dialami itu.

"Sehubungan itu, kita minta golongan ini supaya tidak risau kerana mereka tetap layak menerima bantuan dan hanya perlu mengisi borang dan memaklumkan status muflis kepada Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat ataupun melalui laman sesawang www.hasil.gov.my,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Rakyat Haji Ithin di Parit Terus Darat, Benut semalam.

Beliau berkata, selain golongan muflis, mereka yang sukar membuka buku akaun kerana terlantar sakit dalam tempoh lama atau tidak mempunyai jalur pada ibu jari juga akan dipertimbang menerima pembayaran bantuan secara tunai.

No comments:

Post a Comment