Thursday, January 2, 2014

Sambutan Tahun Baru - UMNO Kuala Terengganu Anjur Majlis Tahli, Solat Hajat


"Umno Bahagian Kuala Terengganu bercadang meneruskan penganjuran majlis tahlil, solat hajat sebagai agenda tahunan sempena sambutan tahun baharu setiap kali menjelang tahun baru Masihi selepas ini."
 -  Datuk Mohd Sabri Alwi 

KUALA TERENGGANU (2 Jan 2014) - Di jalan raya, lebih 100 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atas pelbagai kesalahan dengan sebahagian besar membabitkan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Kejadian saman itu dilakukan dalam Ops Khas Motosikal dan tahun baharu di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Pengarah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, dalam operasi lima jam bermula 8 malam itu, JPJ memeriksa 700 kenderaan dengan 181 dikenakan tindakan.

Di Bangunan Umno Bahagian Kuala Terengganu pula, Umno Bahagian berkenaan menganjurkan majlis tahlil dan solat hajat sebagai agenda tahunan sempena sambutan tahun baharu.


Sambutan itu adalah kali pertama dianjurkan dan selain menbarapkan berkat, ia juga mampu merapatkan hubungan sesama ahli Umno khususnya di Kuala Terengganu.

Malah, Umno Bahagian Kuala Terengganu bercadang meneruskan penganjuran majlis seperti itu sebagai agenda tahunan sempena sambutan tahun baharu setiap kali menjelang tahun baru Masihi selepas ini.

Ketua Umno bahagian, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, berbanding sambutan berbentuk hiburan, kaedah Islamik akan diberi peranan dan penekanan di bawah pimpinannya setelah dua bulan lebih menerajui kepimpinan bahagian itu.

“Insya ALLAH ia menjadi program tahunan dan sebagaimana kita kata tadi, kita akan buat transformasi habis-habisan. Hari ini kita buat dengan berubahnya Umno bahagian, berubahnya cara kerja dan hari ini kita bermula dari awal, tidak bermula saat-saat akhir.

“Program ini kali pertama dan alhamdulillah, sebelum ini kita buat program menggunting rambut percuma kepada 300 – 400 kanak-kanak sekolah sebelum menjelang hari persekolahan,” katanya pada Majlis Solat Hajat dan Tahlil sempena tahun baru 2014 anjuran Umno Bahagian Kuala Terengganu di Dewan Abu Bakar Bin Daud, malam kelmarin.

Dari sudut politik, pendekatan sederhana itu juga merupakan kaedah gerakan dari awal untuk memastikan Umno kembali mendapat sokongan rakyat di Parlimen tersebut pada PRU14 akan datang.

Mohd Sabri menegaskan, penerapan nilai Islam akan diberi perhatian memandangkan ramai pihak melihat Umno dan Islam mempunyai jurang tertentu sehingga ia dilihat terlalu jauh.

Mengambil kira pandangan itu, Mohd Sabri menganggap ia tidak seharusnya dilepaskan dan perlu dilakukan perubahan sebaik mungkin.

“Sebab itu pertamanya perubahan yang saya buat untuk Umno bahagian itu sendiri sudah ada iaitu meletakkan kalimah ALLAH dan Muhammad (di pintu masuk bangunan), tazkirah setiap Khamis pada jam 10 pagi hingga 11 pagi di bangunan Umno supaya kita jangan jadikan bangunan untuk kita bersuka ria sahaja dan insya ALLAH akan datang, kita buat program fardu ain kepada anak-anak orang susah dan program mengaji al-Quran,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang turut menyokong usaha tersebut memberitahu ia mampu sambutan sedemikian mampu menarik pelbagai golongan, selain menepis persepsi segelintir pihak bahawa orang Umno jauh dengan majlis-majlis agama.

Baginya, pendekatan islamik yang boleh dikembangkan dengan pelbagai kaedah itu juga mampu membawa keseimbangan dalam kepimpinan sedia ada di peringkat bahagian.

“Di peringkat Pemuda Umno bahagian, penerapan islamik ini juga turut dibuat melalui pelantikan ahli agama iaitu kita melantik Imam Masjid Batu Burok, Ustaz Ahmad Irham Mohd sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dan di peringkat Umno bahagian, Imam Masjid Sultan Ismail Chendering, Ustaz Ahmad Roslin Jaafar juga dilantik sebagai AJK,” katanya.

Amat nyata tanpa sambutan bunga api, konsert atau acara-acara besar, sambutan tahun baharu secara bersederhana dan Islamik tetap meriah selain mengelak pembaziran.

Tanpa memerlukan kos penganjuran yang besar, program di masjid-masjid juga mampu melibatkan pelbagai pihak selain mengajar anak muda mengenai semangat tahun baru yang sebenarnya.


Sumber - SH Online & Bernama

No comments:

Post a Comment