Wednesday, January 1, 2014

Semua Sekolah Terjejas Banjir Di Terengganu Dibuka Hari Ini

Ahmad Shabery menyampaikan bantuan di Kemaman, kelmarin.
KUALA TERENGGANU (1 Jan 2014) - Hari ini bermulalah hari persekolahan di Terengganu untuk sesi 2014 apabila kesemua 19 sekolah di Terengganu yang terjejas oleh banjir awal bulan ini turut dibuka mengikut jadual persekolahan.

Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu Hashim Mohd Zin berkata kesemua sekolah tersebut sudah dibersihkan dan buku teks serta perabot yang rosak sudah diganti.

Sebanyak 33 sekolah yang dijadikan pusat pemindahan juga telah dibersihkan dan perabotnya disusun atur untuk memulakan sesi persekolahan hari ini.

Bagi asrama yang terjejas seperti di Sekolah Menengah Mak Lagam di Kemaman, tilam-tilam dan perabot juga telah digantikan," katanya semalam.

Sementara itu sejumlah 875 mangsa banjir di Hulu Terengganu menerima bantuan persekolahan daripada empat agensi semalam.

Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari (kanan), yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata sumbangan berupa beg sekolah serta keperluan peralatan itu adalah daripada Pemuda Umno Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) serta KUB Malaysia Berhad.

"Alhamdulillah, ini adalah sedikit sebanyak sumbangan yang diberikan oleh organisasi-organisasi tersebut bagi meringankan beban mangsa banjir yang terdiri daripada tiga kawasan dalam daerah ini iaitu Telemong, Ajil dan Kuala Berang.

Sumbangan ini dapat meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa ditanggung yang terpaksa membeli keperluan anak-anak bagi sesi persekolahan yang akan bermula esok (hari ini)," katanya. Beliau menyatakan demikian sempena majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Kilat TNB di Hulu Terengganu.

Turut hadir Pengerusi KUB Malaysia Berhad Datuk Seri Abdul Halim Samad, Ketua Pemuda Umno negeri Mohd Johari Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas khas Ghazali Taib.

Kelmarin (30 Dis 2013), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM187,000 kepada 201 mangsa banjir terdiri daripada asnaf dan fakir miskin di Kemaman.

Pengarah Jabatan Baitulmal Maidam Mohd Noor Mohamad berkata kesemua penerima terbabit diberi bantuan pasca banjir setelah rumah mereka mengalami kerosakan teruk akibat ditenggelami banjir hingga paras bumbung.

"Hari ini, isi rumah yang terdiri dari dua anggota keluarga menerima RM500 manakala isi rumah lebih dari tiga orang pula menerima RM1,000.

"Maidam juga memberi bantuan tunai RM100 kepada setiap orang anak mangsa banjir yang masih bersekolah sama ada sekolah menengah atau sekolah rendah," katanya.

Beliau menyatakannya selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan itu oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia selaku Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Kemaman, Isnin.

Pada majlis itu juga, Maidam turut memberi sumbangan berjumlah RM500,000 kepada enam buah masjid dan 21 buah surau yang terjejas banjir di Kemaman melalui peruntukan yang disalurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Ketika banjir melanda Kemaman awal bulan ini, Maidam juga menyalurkan bantuan barangan keperluan dan makanan bernilai RM50,000 kepada mangsa banjir di dua pusat pemindahan iaitu SK Banggol dan SK Pusat di Chukai.

No comments:

Post a Comment